Selasa, 21 Disember 2021 | 6:37pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Mangsa banjir dikecualikan yuran ganti lesen kenderaan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan bersetuju mengecualikan bayaran penggantian dokumen Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) yang hilang kepada mangsa banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga tidak mengenakan had waktu urusan penggantian berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini selain mangsa perlu menguruskan kehidupan selepas banjir.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pengecualian itu, mangsa perlu membuat laporan polis terlebih mengenai dokumen yang hilang atau musnah sebelum berurusan di kaunter JPJ.

"Tidak perlu tergesa-gesa. Saya minta JPJ membantu mereka terjejas dan kalau boleh kita hendak meletakkan kaunter bergerak JPJ untuk memudahkan urusan mangsa banjir nanti," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics & Transport (KiLAT) yang julung kali diadakan, hari ini.

Ka Siong berkata, kementerian juga terbuka menerima cadangan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir termasuk urusan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Beliau berkata, agensi Kementerian Pengangkutan turut membantu meringankan beban terpaksa ditanggung mangsa banjir di lapan negeri terbabit.

Katanya, ia termasuk bantuan makanan dan keperluan asas, membuka fasiliti milik agensi terbabit seperti Masjid Sultan Abdul Samad KLIA dan Wisma Pelaut serta stesen LRT sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa banjir.

Berita Harian X