Selasa, 21 Disember 2021 | 6:35pm
Penduduk Kampung Cemperai dilihat membersihkan kediaman mereka hari ini daripada lumpur selepas banjir surut di kawasan berkenaan - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Cemperai dilihat membersihkan kediaman mereka hari ini daripada lumpur selepas banjir surut di kawasan berkenaan - Foto BERNAMA

RM100 juta untuk Selangor Bangkit

SHAH ALAM: Kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk ikhtiar Selangor Bangkit susulan banjir teruk yang melanda negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu termasuk bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir; RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir; bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.

Bagaimanapun katanya, tumpuan utama kerajaan negeri ketika ini adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan membersihkan kawasan perumahan mangsa supaya mereka boleh mula kembali ke rumah.

"Setelah proses ini selesai, fokus seterusnya akan bertumpu kepada analisis skala kerosakan infrastruktur, pemulihan infrastruktur termasuk pengukuhan sistem tebatan banjir terutamanya kawasan-kawasan berisiko tinggi.

"Bagi usaha ini, sekurang-kurangnya 2,817 petugas dari 28 agensi akan diaturgerak untuk meneruskan proses pemulihan agar Selangor bangkit dari musibah banjir yang melanda ini.

"Bagi tujuan ini, sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan menerusi usaha Selangor Bangkit termasuk bantuan RM10,000 kepada mangsa yang meninggal dunia akibat banjir; RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir; bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk memastikan kesemua usaha yang dilaksanakan adalah tersasar dan optimum, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan bertugas sebagai focal point bagi setiap aspek seperti menyelaras bantuan sukarelawan, pertubuhan belia, kebajikan, pembersihan, pemulihan infrastruktur, bantuan kesihatan dan pemantauan PPS.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri juga akan mempermudah prosedur permohonan pemberian bantuan kepada keluarga yang berpindah ke PPS bagi mengelakkan kerenah birokrasi.

Mengulas lanjut, menerusi Selangor Bangkit, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pelepasan bil air selama sebulan kepada akaun-akaun yang terkesan dengan bencana banjir.

"Memandangkan kerosakan yang dialami oleh penduduk di kawasan perumahan dan lokaliti yang terkesan, pihak KDEB Waste Manangement (KDEBWM) akan menggerakkan lori pungutan sampah, jengkaut serta trak dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak terjejas ke kawasan yang memerlukan pungutan sisa-sisa dan sampah sarap ini secepat mungkin.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama dua bulan kepada semua usahawan HIJRAH Selangor yang terkesan akibat banjir dengan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta," katanya.

Sementara itu, pada sidang media berkenaan, Amirudin turut mengumumkan pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit menerusi akaun Bendahari Negeri Selangor (CIMB Bank - 8604747531).

Katanya, tabung berkenaan dilancarkan sebagai platform kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya syarikat-syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan untuk sama-sama menyumbang ke arah pemulihan kawasan yang terjejas dengan musibah banjir.

"Sebagai permulaan, sukacita saya menyumbang sebulan gaji saya untuk tabung ini," katanya.

Berita Harian X