Selasa, 21 Disember 2021 | 4:48pm

11 mangsa banjir positif COVID-19 di Kelantan diselamatkan

RANTAU PANJANG: Seramai 11 mangsa banjir yang disahkan positif COVID-19 diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan ketika operasi menyelamat dijalankan di musim tengkujuh.

Pengarah JBPM Kelantan, Jainal@Zainal Madasin, berkata jumlah itu hasil daripada 14 operasi yang dijalankan di seluruh Kelantan bermula 17 Disember sehingga hari ini.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan lima mangsa di jajahan Gua Musang, manakala enam lagi di Pasir Mas.

"Semua operasi menyelamat membabitkan pesakit COVID-19 dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk mewajibkan anggota bertugas memakai pakaian pelindung diri (PPE).

"Kita juga mendapat kerjasama baik dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) khas yang disediakan di setiap jajahan.

"Setakat ini tiada laporan membabitkan insiden dalam kalangan anggota kerana semua kakitangan JBPM Kelantan sudah bersiap siaga daripada segi fizikal dan mental dalam menggalas tanggungjawab sepanjang tempoh banjir," katanya ketika turun padang meninjau penempatan terjejas banjir di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Kampung Tersang adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini termasuk Kampung Bawah Lembah, Kampung Pengkalan Rakit, Kampung Gual Sitok dan Kampung Gual To'Deh, di sini.

Zainal turut mengambil peluang bertemu dengan mangsa banjir selain memberi nasihat kepada mereka yang enggan berpindah agar segera ke PPS terdekat kerana khuatir jika air semakin tinggi.

"Hasil pemantauan saya di sini, mendapati jalan utama Pekan Rantau Panjang sudah mulai surut, hanya beberapa kampung sahaja yang masih digenangi air dan perlu diberi perhatian pihak keselamatan agar tiada sebarang insiden berlaku.

"Saya juga berharap agar mangsa yang terbabit dapat bersabar dan reda dengan ujian ini selain berjanji bahawa pihak JBPM akan terus memberi khidmat terbaik dalma membantu masyarakat setempat," katanya.

Jainal@Zainal (tengah) mendukung adik Norliana Husna Helmi, dua tahun, selepas menasihati penduduk Kampung agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Jainal@Zainal (tengah) mendukung adik Norliana Husna Helmi, dua tahun, selepas menasihati penduduk Kampung agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X