KUALA LUMPUR: "Saya halalkan segala barangan yang diambil jika niat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dan terdesak akibat bantuan yang lewat tiba," kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.
Merujuk insiden pecah masuk cawangan MYDIN Mart di Sri Muda, Shah Alam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, Ameer berkata, pada dasarnya tindakan itu adalah satu kesalahan dan tidak patut berlaku, namun dalam situasi darurat, kemungkinan pelaku berkenaan tiada pilihan dan terpaksa melakukannya demi kelangsungan hidup.
"Saya tidak menyokong tindakan itu, tetapi ia sudah berlaku dan saya menghalalkan segala barangan yang diambil jika niat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dan terdesak akibat bantuan yang lewat tiba," katanya ketika dihubungi BH.
Katanya, beliau sangat tersentuh dan simpati dengan mangsa banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.
Cawangan Mydin Mart Sri Muda turut rosak akibat banjir pada 18 Disember lalu dan mengakibatkan kerugian melebihi jutaan ringgit.
"Bersama kita memanjatkan doa kepada Allat SWT supaya mereka semua terselamat dan bencana banjir serta pandemik ini pulih seperti biasa," kata Amir lagi.
Kelmarin tular di media sosial video kejadian pecah masuk beberapa kedai di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam dan polis mengesahkan terdapat beberapa kejadian pecah kedai serbaneka di kawasan terbabit.
Kejadian dipercayai antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang dan antara yang dipecah masuk adalah Mydin Mart, KK Mart, 7 Eleven dan Pasaraya Jimat.