Selasa, 21 Disember 2021 | 4:02pm
Ismail Sabri melawat mangsa banjir di PPS Dewan D'Sury, Kuala Klawang, hari ini. - NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Ismail Sabri melawat mangsa banjir di PPS Dewan D'Sury, Kuala Klawang, hari ini. - NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

Pelbagai faktor masalah pengurusan banjir di Selangor - PM

JELEBU: Masalah pengurusan bencana banjir di Selangor, termasuk kelewatan bantuan kepada mangsa, berpunca daripada pelbagai faktor, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri ketika menjelaskan perkara itu, bagaimanapun mengaku pengurusan bencana banjir di Selangor ketika ini berdepan masalah berbanding negeri lain.

"Saya telus dan tidak mahu melindungi sesiapa. Di negeri lain di Pantai Timur, banjir seperti acara tahunan dengan semua telah membuat persediaan menjelang November dan Disember.

"Persiapan pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah bersedia kerana setiap tahun, orang akan berpindah ke tempat sama. Semua sudah okay.

"Malah dalam mesyuarat khas bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, pagi tadi, saya turut bertanya kepada semua menteri di negeri terbabit, tiada isu yang timbul," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan D'Sury, Kuala Klawang, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, Selangor tidak pernah berdepan banjir besar seperti kali ini, dan insiden itu juga berlaku dengan pantas.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, pusat operasi bencana seharusnya dibuka sebaik saja ada mangsa dipindahkan walaupun dari sebuah rumah tetapi insiden di Selangor berlaku serentak membabitkan beberapa daerah seperti Petaling, Shah Alam dan Klang.

"Jumlah hujan di Selangor dalam sehari itu sepatutnya adalah bagi tempoh sebulan. Aset seperti milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebiasaannya digerakkan ketika hujan biasa saja.

"Biarpun amaran hujan sudah dikeluarkan, jangkaan taburan hujan yang banyak tidak ada dalam pemikiran penduduk ketika itu," katanya.

Sebagai contoh di Taman Sri Muda di Shah Alam, Ismail Sabri berkata, penduduk sudah biasa berdepan banjir tetapi tidak menyangka air akan naik sebegitu cepat.

Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu membawa keluar mangsa-mangsa banjir menggunakan bot ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 hari ini. - Foto BERNAMA
Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu membawa keluar mangsa-mangsa banjir menggunakan bot ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 hari ini. - Foto BERNAMA

Justeru, Perdana Menteri menjelaskan, ia antara faktor menyebabkan berlaku keadaan kelam-kabut pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor.

"Saya ada mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyelamatkan mangsa di sana. Namun ketika usaha menyelamat dilakukan oleh NADMA, tempat tinggal mangsa sudah tidak dapat dikesan dan itu adalah masalah awal dihadapi," katanya.

Pada hari pertama banjir, Ismail Sabri berkata, seluruh Shah Alam serta Klang mengalami kesesakan, dan usaha menghantar bantuan makanan ke kawasan bencana berdepan kesukaran termasuk jalan tidak boleh dilalui.

"Saya tidak menafikan berlaku kelewatan, namun ia disebabkan pelbagai faktor, selain aset seperti milik ATM turut digunakan di negeri lain," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, tanggungjawab pengurusan banjir bukan hanya terletak pada Kerajaan Persekutuan tetapi juga kerajaan negeri, manakala NADMA pula dari segi koordinasi.

"Semua pihak perlu ada tanggungjawab," katanya.

Berita Harian X