Selasa, 21 Disember 2021 | 2:15pm
Lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa keluar mangsa-mangsa banjir selepas banjir mulai surut ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini - Foto BERNAMA.
Lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa keluar mangsa-mangsa banjir selepas banjir mulai surut ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini - Foto BERNAMA.

Kerja mengepam air di kawasan banjir bermula

SHAH ALAM: Proses menyedut air banjir di kawasan yang masih tergenang di negeri ini telah bermula dengan penggunaan pam air untuk disalurkan ke sungai dan parit besar berdekatan.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata sejak malam tadi, beberapa pam air telah diterima kerajaan negeri daripada pihak luar termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran dari negeri-negeri lain dan Kerajaan Persekutuan.

"Pam-pam ini kemudian telah dihantar ke tempat yang memerlukan seperti Jalan Kebun Bunga dan Batu Tiga serta Taman Sri Muda di Shah Alam dan kerja-kerja pengepaman air telah bermula pada malam tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata di Klang sahaja, lebih 50 pam air digunakan bagi tujuan itu.

Selain itu, katanya daripada kira-kira 900 ke 1,000 pencawang elektrik di Selangor, lebih 400 pencawang masih gagal beroperasi semula akibat banjir setakat semalam, menyebabkan bekalan elektrik terjejas di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, Izham berkata kerja-kerja pembersihan kini ditumpukan di kawasan yang mengalami pasca banjir, manakala kerja-kerja memindahkan mangsa banjir dilakukan di beberapa tempat yang baru mengalami banjir.

"Beberapa tempat kini sedang dinaiki air sebagai contoh Kuala Selangor dan Kuala Langat kerana air mengalir ke hilir sungai, dan penduduk di sana sudah mula dipindahkan," katanya. – BERNAMA

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengangkat beg mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengangkat beg mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X