Selasa, 21 Disember 2021 | 1:37pm
Penduduk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Penduduk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.

UKM tangguh pengajian seminggu, gerak 1,200 sukarelawan bantu mangsa banjir

PUTRAJAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi pelepasan seminggu kepada pelajarnya bagi menangguhkan kelas dan kerja makmal untuk membantu keluarga mereka yang terjejas akibat banjir.

Naib Canselornya, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata pihaknya juga turut menyediakan penempatan sementara bagi keluarga kakitangan yang terjejas.

"UKM sedia membuka pintu unit kediaman kami di kawasan Bangi dan Kuala Lumpur serta kolej kediaman yang kosong bagi menempatkan mangsa banjir dari kalangan kakitangan yang memerlukan. Zakat UKM turut menyalurkan sumbangan seperti barangan keperluan harian dan kewangan kepada kakitangan terkesan dengan bencana ini.

"Selain itu, kami juga menerima sumbangan peribadi daripada alumni universiti yang bermurah hati untuk meringankan beban mangsa. Pihak universiti tidak melupakan pelajar yang berada di lokasi banjir luar negeri ini, dengan universiti awam yang berhampiran turut membantu UKM mengenal pasti pelajar kita yang terjejas", katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara 1,200 sukarelawan UKM menyertai misi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat sebelum ini- Foto NSTP/ihsan UKM
Antara 1,200 sukarelawan UKM menyertai misi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat sebelum ini- Foto NSTP/ihsan UKM

Mohd Ekhwan berkata, UKM turut menggerakkan lebih 1,200 sukarelawan membabitkan pelajar dan kakitangan ke beberapa lokasi banjir sekitar Selangor bagi membantu mangsa banjir yang dilaksanakan segera melalui kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan pendaftar universiti melalui media sosial.

"Sukarelawan ini akan turut membantu membersihkan kawasan rumah mangsa terutama penuntut dan kakitangan universiti yang terjejas. Setakat ini UKM sudah mengenal pasti 67 keluarga kakitangan serta 1,177 pelajar terjejas akibat banjir. Semalam, enam bas membawa 120 sukarelawan digerakkan ke beberapa lokasi banjir di Bangi Lama dan Hulu Langat.

"Insya-Allah, kita akan terus mengembleng tenaga sukarelawan di lokasi berbeza bagi menyantuni seramai mungkin mangsa banjir dalam kalangan pelajar, kakitangan serta masyarakat setempat," katanya menambah, semua pihak di UKM bersatu hati menawarkan bantuan secepat mungkin.

Sukarelawan UKM membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat. ihsan UKM - ihsan UKM
Sukarelawan UKM membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat. ihsan UKM - ihsan UKM

"Inilah konsep keserakanan yang selalu diterapkan dalam warga universiti, sentiasa bersedia untuk berbakti kepada masyarakat. Semua sukarelawan yang turun membantu mangsa banjir diberi taklimat terlebih dahulu dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepanjang masa bagi mengekang penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X