Selasa, 21 Disember 2021 | 1:18pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Pemancing, nelayan perlu waspada ke laut

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kuala Kedah menasihatkan pemancing dan nelayan pesisir pantai supaya berwaspada dan mengutamakan keselamatan melakukan aktiviti penangkapan ikan ketika Monsun Timur Laut.

Pengarahnya, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, ini berikutan perairan Kedah bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 50 hingga 60 kilometer (km) sejam berserta hujan lebat.

Beliau berkata, keadaan ombak juga boleh mencapai ketinggian antara tiga hingga 3.5 meter.

"Situasi ini boleh membahayakan pengusaha bot terutamanya bot pemancing rekreasi, bot tradisional dan bot gentian.

"Mereka perlu mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca dan memastikan bot dalam keadaan selamat dan baik.

"Mereka juga perlu membawa bersama alat pengesan lokasi (PLB) kerana ia dapat membantu dan mempercepatkan bantuan carilamat di laut apabila berlaku kecemasan," katanya hari ini.

Noor Azreyanti berkata, nelayan juga perlu memaklumkan kepada persatuan nelayan kawasan (PNK), ahli keluarga atau rakan terdekat mengenai destinasi atau lokasi menangkap ikan untuk memudahkan pencarian sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau berkata, kawasan operasi dan carilamat di bawah tanggungjawab Zon Maritim Kuala Kedah seluas 164 batu nautika persegi dari Kuala Muda ke Sanglang, Kedah.

Berita Harian X