Selasa, 21 Disember 2021 | 10:09am
Penduduk, Khairul Anuar Muhamad, 37, (kiri) menarik sampan bersama isteri dan anaknya untuk berpindah setelah rumah mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, semalam. Banjir yang melanda Kelantan sejak Jumaat lalu di Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, dijangka pulih sepenuhnya minggu ini berikutan beberapa sungai utama menunjukkan trend penurunan paras air. - BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurang

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurang kepada 3,408 penduduk daripada 1,016 keluarga sehingga jam 9 pagi ini, berbanding 3,660 orang jam 5 petang semalam.

Mereka ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak tujuh PPS ditutup, iaitu satu di Gua Musang dan enam di Kuala Krai selepas mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas sahaja yang menunjukkan sedikit peningkatan kepada 1,974 orang di 11 PPS berbanding 1,874 mangsa petang semalam.

Mangsa banjir di tiga daerah lain turut berkurangan, iaitu Kuala Krai (983 mangsa di 13 PPS), Gua Musang (550 orang di dua PPS) dan Tanah Merah (101 orang di dua PPS).

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan terdapat 11 jalan yang ditutup, iaitu enam di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai dan dua di Tanah Merah. Antara jalan ditutup di Pasir Mas, termasuk Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang dan Jalan Sekolah Cina.

Di Tanah Merah, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah ditutup berikutan paras air yang masih tinggi di lokasi itu, sekali gus membahayakan nyawa pengguna.

Berita Harian X