Isnin, 20 Disember 2021 | 9:20pm
(Gambar hiasan) Antara PPS yang menempatkan mangsa banjir di Kuala Lumpur. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
(Gambar hiasan) Antara PPS yang menempatkan mangsa banjir di Kuala Lumpur. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KKM sedia pasukan perubatan di PPS

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyediakan pasukan perubatan di pusat pemindahan sementara (PPS), terutama pusat yang besar, bagi membekalkan ubat asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir ditempatkan di situ.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya juga akan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas mangsa banjir sebelum mereka dibenarkan memasuki ruang pusat itu, bagi mencegah penularan COVID-19.

Setakat tengah hari tadi, beliau berkata, 78 mangsa banjir sudah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar di PPS.

"Daripada jumlah itu, 13 kes dalam kategori penyakit berjangkit meliputi acute respiratory infection (ARI) (lima) dan jangkitan kulit (lapan), manakala 65 lagi penyakit tidak berjangkit.

"Setakat ini, tiada kes acute gastroenteritis (AGE), tifoid, kolera, tangan kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, denggi atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, berikutan masih ada segelintir mangsa banjir mendapatkan perlindungan di masjid, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan pusat beli belah, KKM menasihati urus setia atau sukarelawan di pusat perlindungan itu supaya melakukan ujian kendiri terhadap setiap individu berkenaan.

Beliau menjelaskan, pihak terbabit juga perlu segera mengasingkan kes positif COVID-19 yang berjaya dikesan melalui saringan yang dijalankan itu.

"Seterusnya, sila maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan serta menghubungi talian yang disediakan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline supaya langkah pengesanan kontak rapat dapat dijalankan segera.

"Keselamatan setiap individu terbabit bencana banjir ini adalah yang paling utama. Justeru, KKM faham sekiranya pematuhan SOP kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya ketika menyelamatkan nyawa.

"Namun, diharapkan semua individu terbabit sama ada mangsa banjir, sukarelawan atau anggota penyelamat, dapat cuba mematuhi SOP dengan sebaik mungkin bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di PPS," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 72 fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir membabitkan 43 di Pahang, Selangor (20), Kelantan (lapan) dan Negeri Sembilan (satu).

Beliau memaklumkan, pihaknya turut memeriksa 70 sampel sumber air untuk digunakan mangsa banjir, dan tiada pelanggaran terhadap parameter pH, klorin serta kekeruhan (NTU).

Selain itu, katanya, KKM menjalankan pemeriksaan terhadap vektor supaya tiada penyakit bawaan vektor berlaku di PPS.

"Sebanyak 48 PPS diperiksa dan tiada tempat pembiakan Aedes dikesan, setakat ini. Sebanyak 427 bekas telah diperiksa dan tiada PPS disembur kabus.

"Bagi keselamatan makanan, KKM turut membuat lawatan di 45 PPS dan mendapati 34 daripadanya memperoleh keputusan memuaskan dari segi premis penyediaan makanan," katanya.

Dr Noor Hisham sekali gus mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu tanpa mengira bangsa dan agama, dalam menangani bencana sedang melanda negara.

Berita Harian X