Isnin, 20 Disember 2021 | 8:46pm
Penduduk kampung Jeffry Darus, 35, terpaksa meredah banjir untuk memindah perkakas elektrik di Kampung Batu 7 Setengah, Lorong Mesra Changkat Jong hari ini. - Foto BERNAMA
Penduduk kampung Jeffry Darus, 35, terpaksa meredah banjir untuk memindah perkakas elektrik di Kampung Batu 7 Setengah, Lorong Mesra Changkat Jong hari ini. - Foto BERNAMA

Bekalan elektrik ambil masa untuk pulih

KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di kawasan yang terjejas banjir akan mengambil masa untuk pulih, walaupun banjir mulai surut.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Rangkaian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata petugas perlu memeriksa dan menguji untuk memastikan tiada kerosakan pada kabel atau tiang elektrik.

Katanya, jika ada kerosakan seperti tiang tumbang atau hanyut, kabel rosak atau mendapan tanah, tempoh pemulihan perlu dilanjutkan untuk kerja membaiki.

"Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana pada masa sama penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

"Ini bagi mengelak risiko renjatan jika bekalan elektrik disambung semula," katanya.

Katanya, penduduk perlu membuat pemeriksaan di rumah mereka dengan mengamalkan panduan keselamatan elektrik ketika dan selepas banjir, demi keselamatan.

Beliau berkata, ini termasuk menjauhi dan menyentuh peralatan atau kabel elektrik yang digenangi air, bagi mengelak risiko renjatan.

"Orang ramai juga perlu memastikan pemasangan suis dan perkakas elektrik yang mereka tidak sempat alih dan pindahkan atau yang mungkin tenggelam, dibuat pemeriksaan dan diuji terlebih dahulu oleh pihak kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, sebelum digunakan.

"Semakan kontraktor pendawaian yang berdaftar boleh dibuat di laman website agensi berkenaan," katanya.

Wan Nazmy berkata, selepas penduduk di kawasan berkenaan selesai membuat semakan, barulah TNB dapat menyalurkan semula bekalan.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama wakil penduduk seperti badan pengurusan bersama supaya semua penduduk yang terjejas mendapat bekalan pada masa yang sama.

"Jadi, tempoh untuk menyambung semula bekalan elektrik di kawasan yang terjejas bergantung kepada kesediaan penduduk membuat semakan di rumah mereka," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, semua penduduk yang terjejas digalakkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) terlebih dahulu, seperti arahan oleh kerajaan bagi mengelak risiko renjatan elektrik.

"Penduduk hanya perlu pulang ke rumah mereka selepas diarahkan kerajaan dan selepas disahkan selamat bagi mengelak sebarang risiko," katanya.

Sementara itu, katanya, orang ramai boleh melayari laman web TNB atau akaun media sosial TNB bagi melihat hebahan mengenai langkah keselamatan dan apa yang boleh tidak boleh dibuat semasa tempoh pemulihan banjir.

Berita Harian X