Isnin, 20 Disember 2021 | 8:25pm
 Nimala bersyukur diselamatkan petang tadi selepas tiga hari terkepung akibat banjir di Seri Muda, Shah Alam. - NSTP/ Nor Azizah Mokhtar
Nimala bersyukur diselamatkan petang tadi selepas tiga hari terkepung akibat banjir di Seri Muda, Shah Alam. - NSTP/ Nor Azizah Mokhtar

'Detik ngeri 3 hari tunggu diselamatkan'

SHAH ALAM: Tiga hari menunggu diselamatkan menjadi detik paling getir dihadapi seorang ibu bersama tiga anak selepas terperangkap apabila rumah mereka ditenggelami air setinggi kira-kira dua meter di Taman Seri Muda, Seksyen 25, di sini.

S Nimala, 55, bersama tiga anak berusia antara 16 hingga 19 tahun, akhirnya mendapat bantuan dinantikan apabila sebuah bot datang menyelamatkan mereka kira-kira jam 2.45 petang tadi.

"Ketika kejadian, suami keluar bekerja, hanya kami empat beranak di rumah dan dalam tempoh beberapa jam saja, rumah ditenggelami air.

"Anak-anak cuba menjerit meminta tolong apabila nampak beberapa bot penyelamat berulang alik di laluan utama, tetapi hampa kerana mereka tidak melalui simpang perumahan kami," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Nimala berkata, mereka empat beranak terpaksa tinggal di tingkat atas rumah dua tingkat dan hanya mendapatkan bekalan makanan dua kali sehari yang dihulurkan orang ramai menggunakan bot kecil.

P Trimalai, 58, bersama anak lelakinya berusia 17 tahun juga diselamatkan menggunakan bot hari ini selepas tiga hari terperangkap di rumah saudaranya di Seri Muda yang turut ditenggelami air.

"Kami dua beranak tinggal di Kampung Jawa dan menumpang di rumah saudara selepas kediaman kami dinaiki air, tetapi tidak menyangka banjir buruk juga berlaku di sini," katanya.

Paras air masih tinggi di kawasan Seri Muda pada hari ketiga operasi menyelamatkan mangsa banjir dilakukan. - NSTP/ Nor Azizah Mokhtar
Paras air masih tinggi di kawasan Seri Muda pada hari ketiga operasi menyelamatkan mangsa banjir dilakukan. - NSTP/ Nor Azizah Mokhtar

Sementara itu, Ku Najiha Ku Mahadzir, 33, berkata hujan di kawasan itu sejak Jumaat dan berterusan sehingga keesokannya menyebabkan air naik mencecah paras pinggang.

Susulan itu, katanya, beliau dan suami bersama anak berusia empat tahun berpakat meninggalkan kediaman.

"Kami menaiki kenderaan cuba keluar dari Seri Muda, namun akhirnya terkandas selepas laluan dinaiki air.

"Ini pengalaman agak mengerikan kerana sejak tinggal di kawasan ini 21 tahun lalu, tidak pernah banjir seburuk ini berlaku.

"Walaupun rumah dan dua kereta rosak ditenggelami air, kami bersyukur kerana cepat membuat keputusan meninggalkan rumah untuk tinggal sementara bersama keluarga lain sebelum situasi bertambah buruk," katanya.

Air mulai surut di sesetengah kawasan di Seri Muda petang tadi. - NSTP/ Nor Azizah Mokhtar
Air mulai surut di sesetengah kawasan di Seri Muda petang tadi. - NSTP/ Nor Azizah Mokhtar

Berita Harian X