Isnin, 20 Disember 2021 | 8:03pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meredah air ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Pelabuhan Klang. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meredah air ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Pelabuhan Klang. - Foto BERNAMA

Bantuan tambahan untuk peniaga terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara memuktamadkan beberapa bantuan tambahan kepada mangsa banjir seluruh negara, khususnya pemilik perniagaan yang terjejas.

Ia adalah tambahan kepada peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur rosak serta Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang diberikan kepada setiap ketua isi rumah terjejas akibat banjir, seperti diumumkan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peniaga boleh menerima pembiayaan kewangan tanpa faedah atau keuntungan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya, tempoh bayaran pembiayaan bagi membantu usahawan itu bermula hanya enam bulan selepas perjanjian pembiayaan ditandatangani.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional, manakala koperasi yang terjejas dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000.

"Kerajaan bersetuju memberikan dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank's Entrepreneur Premises Complex, yang terjejas akibat banjir. Melalui SME Bank, kerajaan akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman.

"Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga bersetuju menyumbang RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir, peningkatan lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam.

"Antara GLIC dan GLC yang menyumbang adalah Petronas, Yayasan Petronas, Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah, Yayasan Sime Darby, CIMB, Celcom, Telekom Malaysia, Yayasan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ia bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca banjir adalah RM75.8 juta.

Berita Harian X