Isnin, 20 Disember 2021 | 7:51pm
(Gambar hiasan) Keadaan banjir di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar hiasan) Keadaan banjir di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bantuan tambahan untuk peniaga mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi, memuktamadkan beberapa bantuan tambahan kepada mangsa banjir seluruh negara, khususnya pemilik perniagaan yang terjejas.

Ia adalah tambahan kepada peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak serta Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberi kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri berkata, bantuan meliputi pembiayaan kewangan tanpa faedah atau keuntungan, hingga RM5,000 menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi Pinjaman Pemulihan Banjir menerusi TEKUN Nasional, manakala koperasi yang terjejas pula dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia hingga RM30,000.

"Kerajaan juga bersetuju memberi dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank's Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

"Melalui SME Bank, kerajaan akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seterusnya, Ismail Sabri berkata, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bersetuju menyumbangkan RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan pemulihan pascabanjir, iaitu meningkat lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam.

"GLIC dan GLC yang menyumbang termasuklah Petronas, Yayasan Petronas, Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah, Yayasan Sime Darby, CIMB, Celcom, Telekom Malaysia, Yayasan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ia bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pascabanjir adalah RM75.8 juta," katanya.

Berita Harian X