Isnin, 20 Disember 2021 | 6:03pm
Cerapan imej satelit ketika banjir di Seksyen 24, Shah Alam. - Foto ihsan MYSA
Cerapan imej satelit ketika banjir di Seksyen 24, Shah Alam. - Foto ihsan MYSA

MYSA sediakan imej satelit kawasan banjir

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menyediakan imej satelit kawasan yang dilanda banjir di seluruh negara bagi pelbagai tujuan pengurusan sebelum dan pasca bencana.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata usaha sedemikian dilakukan secara berterusan, mulai Jun lalu sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh dan membantu persediaan agensi pengurusan bencana.

Selain itu, beliau berkata, penyaluran maklumat yang berupaya diakses menerusi dalam talian berkenaan bertujuan untuk membolehkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merancang langkah siap siaga dan melakukan pemantauan bencana.

"Sistem atas talian yang dimaksudkan adalah Sistem Maklumat dan Logistik Banjir berteraskan Teknologi Angkasa, Sistem Maklumat Geografi, Sistem Penentududukan Global serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

"Ia dibangun dan dioperasikan dengan usaha sama Pusat Kawalan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Seperti kita maklum, beberapa kawasan di Selangor terjejas teruk akibat banjir, contohnya Seksyen 24, Shah Alam, Selangor dan cerapan imej satelit sebelum serta selepas menunjukkan keluasan litupan banjir adalah kira-kira 5.1 kilometer persegi di kawasan terbabit.

"Ini antara contoh maklumat yang dapat diperoleh agensi pengurusan bencana untuk kegunaan pemulihan pasca banjir," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, MYSA turut menyediakan imej satelit sebelum dan selepas bencana bagi tujuan perancangan, pemantauan, mitigasi serta memberikan analisis pasca bencana bagi kawasan terbabit.

Selain imej satelit, katanya, pasukan dron khas MYSA digerakkan untuk memantau kawasan banjir dan mengumpul maklumat serta imej dengan kebenaran.

"Sehingga hari ini, MYSA secara berterusan mendapatkan imej satelit terkini berkaitan bencana.

MYSA komited untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang memerlukan maklumat cerapan imej satelit khususnya bagi usaha pemulihan bencana banjir.

"Untuk rekod, MYSA melaksanakan peranan dalam pengurusan bencana negara seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan iaitu selaras Pelan Tindakan Operasi Pengendalian Bencana di bawah Arahan MKN20," katanya.

Cerapan imej satelit sebelum banjir di Seksyen 24, Shah Alam. - Foto ihsan MYSA
Cerapan imej satelit sebelum banjir di Seksyen 24, Shah Alam. - Foto ihsan MYSA

Berita Harian X