PUTRAJAYA: Selepas lapan bulan, Kementerian Kesihatan (KKM) kembali merekodkan kes penularan COVID-19 di bawah 3,000 iaitu sebanyak 2,589 kes baharu dicatatkan setakat jam 12 tengah hari ini.
Kali terakhir negara ini merekodkan kes bawah 3,000 ialah pada 26 April lalu iaitu sebanyak 2,776 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu menjadikan sebanyak 2,721,544 individu pernah dijangkiti virus berkenaan.
Dr Noor Hisham berkata, KKM menjangka berlaku peningkatan kes COVID-19 berikutan bencana banjir selepas saringan di pusat pemindahan sementara (PPS) merekodkan sebanyak 181 kes positif.
"Hasil saringan setakat jam 11 pagi tadi, sebanyak 117 kes positif direkodkan di PPS Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat)," katanya dalam ciapan di Twitter.