Isnin, 20 Disember 2021 | 3:32pm
 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Pindahkan segera penduduk terperangkap banjir - PM

PUTRAJAYA: Anggota penyelamat dengan lebih 41 bot dan 16 lori serta aset lain dikerah memindahkan penduduk yang masih terperangkap dalam bencana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pada masa sama, beliau berkata, kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti ketika ini.

"Pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lalu membabitkan anggota pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

"Saya memahami kebimbangan rakyat terhadap mereka yang masih terkandas dan seperti yang saya tegaskan, usaha menyelamat sedang giat dilipatgandakan.

"Terima kasih kepada anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih berkerja keras tanpa henti," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau turut berterima kasih kepada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Keluarga Malaysia yang menghulurkan bantuan termasuk wakil rakyat.

Katanya, beliau akan terus memantau perkembangan situasi di lokasi dan terus berdoa keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Taman Sri Muda antara kawasan yang teruk terjejas dalam bencana banjir sejak Jumaat lalu apabila paras air meningkat sehingga melepasi bumbung rumah di sesetengah tempat.

Berita Harian X