Isnin, 20 Disember 2021 | 2:36pm
Operasi menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. - NSTP/FAIZ ANUAR
Operasi menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. - NSTP/FAIZ ANUAR

'Ada duduk di bumbung, enggan pindah ke PPS'

SHAH ALAM: Keengganan segelintir penduduk yang terjejas banjir untuk berpindah, menyukarkan operasi menyelamatkan mangsa di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan itu antara cabaran utama dihadapi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa banjir sejak hari pertama bencana alam berkenaan melanda.

"Saya mengakui memang ada (mangsa banjir enggan berpindah). Oleh itu, saya mengarahkan Ketua Pengarah JBPM supaya menempatkan lebih ramai anggota bagi membolehkan pelaksanaan operasi menyelamat yang lebih menyeluruh dan kawasan ini diberikan tumpuan utama.

"Saya tengok keadaan luar daripada kebiasaan... apabila bomba pergi untuk selamatkan, mereka duduk di atas bumbung, tidak mahu berpindah tetapi hendak bantuan makanan.

"Memang ada yang tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya hendak tinggal di rumah mereka," katanya pada sidang media ketika meninjau Pusat Kawalan Bomba, Operasi Banjir Taman Seri Muda, di sini, hari ini.

Selain itu, Reezal Merican berkata, terdapat segelintir penduduk enggan berpindah ke PPS kerana bimbang akan risiko jangkitan COVID-19.

"Ada juga (tidak mahu berpindah) sebab melihat hujan sudah tidak turun dan air termenung, mahu tinggal di tingkat dua rumah mereka.

"Bagi yang enggan berpindah, anggota cuba memujuk. Namun jika mereka tetap tidak mahu berpindah, kita tidak dapat buat apa-apa dan saya meminta bomba menghantar bantuan makanan.

"Namun lebih baik jika mereka berpindah ke PPS dan mendaftar, boleh mendapat bantuan kerajaan. Sekarang penduduk yang sudah diselamatkan membuat pendaftaran di sini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua anggota yang terbabit dalam operasi bersepadu, dibekalkan makanan kerana mereka bertugas 24 jam.

Berita Harian X