Isnin, 20 Disember 2021 | 9:57am
Majlis Perasmian Penutup Jelajah Halal Malaysia 2021 Sabah disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (kanan), Datuk Ir Shahelmy Yahya bersama Ariffein Sahari (dua dari kanan) di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto FB HDC
Majlis Perasmian Penutup Jelajah Halal Malaysia 2021 Sabah disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (kanan), Datuk Ir Shahelmy Yahya bersama Ariffein Sahari (dua dari kanan) di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto FB HDC

HDC tingkat usaha pembangunan ekosistem halal negara

PETALING JAYA: Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2021 Sabah, akan mengukuhkan peranan Halal Development Corporation (HDC) sebagai agensi penyelaras pusat serta pemudahcara pembangunan ekosistem halal negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari, berkata JHM 2021 ke Sabah yang berlangsung 14 Disember hingga 16 Disember lalu berupaya mewujudkan sinergi berkesan antara kerajaan pusat dan negeri dalam merencana agenda lebih bersepadu membabitkan pembangunan industri halal negara.

Beliau berkata, pemilihan Sabah sebagai destinasi terakhir bagi kalendar JHM tahun ini dibuat berdasarkan keupayaan negeri di bawah bayu itu mengeluarkan bahan ramuan halal yang menjadi elemen utama modul pensijilan halal.

Bahan halal itu, katanya tidak semestinya terhad bagi kegunaan sektor makanan dan minuman (F&B), sebaliknya melangkaui kosmetik, barangan penjagaan diri, suplemen kesihatan dan turut berpotensi sebagai produk farmaseutikal.

Katanya, keunikan itu dapat membantu usaha HDC sebagai agensi membabitkan ekosistem dan pembangunan halal di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam menambahbaik serta menambah nilai rantaian bekalan produk halal negara.

Lokasi strategik Sabah katanya, turut membolehkan capaian mudah kepada negara dengan pasaran yang besar, bersesuaian sasaran pelan jangka masa sederhana HDC yang kini aktif melalui inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama negara Asia Timur serta Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Dari aspek rantaian bekalan, kekayaan Sabah membabitkan produk pertanian dan marin membolehkan ia membekalkan bahan serta ramuan untuk syarikat halal di seluruh negara, termasuk penghasilan produk inovasi bidang farmaseutikal.

"Capaian Sabah kepada negara dengan pasaran besar seperti Jepun dan Korea hanya mengambil masa tiga ke empat jam melalui penerbangan dan ia strategik bagi membolehkan Malaysia mengeksport ke negara berkenaan sesuai dengan kerjasama G2G yang diusahakan HDC.

"Ini antara faktor mengapa Sabah dipilih sebagai destinasi utama JHM kali ini," katanya dalam temu bual bersama BH di Menara KPMG, baru-baru ini.

Antara pengisian tiga hari JHM 2021 Sabah bermula Selasa lalu, termasuk sesi suai tugas (onboarding) Platform Integrasi Halal (HIP), Program Latihan Halal, Jelajah Bakat Halal serta taklimat dan sokongan daripada MITI Sabah, MUIS, MeSTI, SMECorp, DIDR, GLOPEC dan rakan strategik yang lain.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (Kanan), Datuk Ir Shahelmy Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, merasmikan Penutup JHM 2021 Sabah di Hotel Marriott, Kota Kinabalu Khamis lalu.

Hairol Ariffein berkata, JHM 2021 Sabah tidak hanya memfokus kepada syarikat atau organisasi yang sudah memperoleh pensijilan halal, sebaliknya 'menyantuni' segala aspek dalam ekosistem halal di negara itu.

Beliau berkata, HDC sudah mengenal pasti 100 syarikat di sana yang masih belum memperoleh pensijilan halal, justeru pendekatan berbentuk bimbingan dan nasihat diberi supaya mereka terbuka membuat permohonan bagi mendapat sijil halal.

Katanya, Sabah mempunyai antara 20,000 hingga 25,000 syarikat serta organisasi yang terbabit aktiviti halal di negeri itu, bagaimanapun tidak sampai 300 daripadanya mempunyai pensijilan halal.

"HDC melihat wujudnya potensi untuk membabitkan syarikat ini dalam kategori berkaitan halal di Sabah dan menyasarkan tambahan 300 hingga 500 syarikat di negeri itu akan mendapatkan pensijilan halal dalam tempoh setahun akan datang," katanya.

Antara peserta yang hadir pada Jelajah Halal Malaysia 2021 Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto FB HDC
Antara peserta yang hadir pada Jelajah Halal Malaysia 2021 Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto FB HDC

Hairol Ariffein berkata, jelajah itu juga memfokus kepada usaha membangunkan bakat tempatan melalui latihan peningkatan kemahiran (upskill), kemahiran semula (reskill) serta kemahiran silang (cross skill).

Katanya, pertambahan bilangan syarikat yang mempunyai pensijilan halal di masa akan datang perlu disokong tenaga kerja mahir dalam bidang halal terdiri daripada anak tempatan.

Kepakaran mereka katanya, boleh turut 'dieksport' untuk berkhidmat dalam bidang halal bersama syarikat antarabangsa.

Untuk pihak industri pula katanya, JHM 2021 Sabah turut menjalin kerjasama dengan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) bagi membangunkan Taman Halal baharu di Kalabakan yang mempunyai potensi menarik pelabur.

"Sementara itu, HDC juga menyasar sehingga 2,000 ahli berdaftar serta 200 pemborong dan peruncit di dalam platform HIP.

"Pembabitan agensi serta rakan niaga HDC melalui HIP, akan membantu pemain industri merealisasikan segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) serta rantaian bekalan antara syarikat dengan syarikat.

"Melalui platform ini, HDC bukan saja boleh memantau malah melakukan intervensi bersama rakan niaga strategik bagi membantu ahli mendepani cabaran dalam rantaian bekalan yang mungkin mereka hadapi pada masa hadapan," katanya.

Hairol Ariffein berkata, sejak menerajui HDC tahun lalu, beliau cuba 'meremajakan' JHM yang bermula sejak 2015, dengan penawaran solusi kepada setiap isu dan cabaran yang terpaksa dihadapi pemain industri ini.

"Penawaran solusi itu menjadi DNA utama JHM kini dan terbukti melalui intervensi HDC dengan usaha sama agensi di peringkat negeri, lebih 90 peratus syarikat yang menyertai jelajah ini berjaya mendapatkan sijil halal dalam tempoh kurang 30 hari bekerja," katanya.

Pada masa sama, Hairol Ariffein menekankan perlunya koordinasi antara kerajaan pusat dan negeri, membabitkan pembangunan industri halal negara.

Katanya, sebagai agensi kerajaan, HDC menyediakan pelbagai program pembangunan kawasan industri halal, bagaimanapun pelaksanaan sebenar termasuk aspek kemasukan pelaburan, pembangunan bakat serta pensijilan halal akan berlangsung pada peringkat negeri.

Mengenai sasaran HDC melalui JHM, Hairol Ariffein menyasarkan supaya tadbir urus pada fasa pra dan pasca pensijilan halal di Sabah dapat diperbaiki bagi memastikan ia berjalan dengan lancar dan cekap.

Berita Harian X