Isnin, 20 Disember 2021 | 9:50am
Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu proses pemindahan mangsa banjir di Teluk Intan. - Foto NSTP/Ihsan APM
Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu proses pemindahan mangsa banjir di Teluk Intan. - Foto NSTP/Ihsan APM

Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 242

IPOH: Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 242 orang membabitkan 65 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah akibat terjejas banjir setakat jam 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak, berkata daerah yang terjejas membabitkan Hilir Perak dan Muallim.

Menurutnya, setakat ini, Hilir Perak merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 203 mangsa daripada 54 keluarga ditempatkan di dua PPS.

"PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (Smart), Changkat Jong menempatkan 140 orang daripada 35 keluarga.

"PPS di Dewan Bandaran Teluk Intan yang dibuka jam 9 malam tadi menempatkan 63 mangsa daripada 19 keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di daerah Muallim pula menempatkan 39 mangsa membabitkan 11 keluarga daripada Kampung Kuala Slim.

Katanya, limpahan air Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak akibat hujan lebat berterusan melebihi 48 jam menyebabkan banjir di kampung berkenaan.

Berita Harian X