Ahad, 19 Disember 2021 | 8:56pm
Tinjauan Unit Udara PDRM di di Shah Alam. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Tinjauan Unit Udara PDRM di di Shah Alam. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Cuaca mendung berikutan hujan yang berterusan di Lembah Klang. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Cuaca mendung berikutan hujan yang berterusan di Lembah Klang. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Kawasan terjejas banjir di Hulu Langat berikutan hujan berterusan. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Kawasan terjejas banjir di Hulu Langat berikutan hujan berterusan. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Keadaan kenderaan penduduk yang dihanyutkan air di Kampung Batu 18, Hulu Langat. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Keadaan kenderaan penduduk yang dihanyutkan air di Kampung Batu 18, Hulu Langat. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Banjir makin buruk

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda di beberapa negeri bertambah buruk pada sebelah petang apabila lebih 34,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding lebih 21,000 orang pada tengah hari tadi.

Setakat ini, kejadian banjir susulan fenomena musim Monsun Timur Laut itu mengorbankan satu nyawa, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus deras di Pahang.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak lapan negeri terjejas akibat bencana banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di dua sekolah di Klang, Selangor berkata, setakat hari ini, bilangan mangsa di negeri itu meningkat daripada lebih 6,000 semalam, kepada lebih 15,000 yang ditempatkan di 108 PPS membabitkan lapan daerah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau mengambil maklum mengenai keadaan kritikal di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam seperti dilaporkan sebelum ini.

"Segala aset yang sesuai seperti bot dikerah untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir. Saya difahamkan jumlah anggota tentera ditambah untuk membantu usaha ini.

"Tambahan bot dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Selangor sedang digerakkan bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di Sri Muda, Seksyen 25, di sini," katanya.

Aplikasi RakanMET membolehkan orang ramai dapat maklumat cuaca seperti hujan lebat, ribut petir, angin kencang, jerebu dan gempa bumi, sekali gus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana. - Foto fail NSTP

Di Kuala Lumpur, keadaan cuaca yang agak baik di Lembah Klang hari ini dengan hujan berhenti menyebabkan air di kebanyakan kawasan terjejas semakin surut. Bagaimanapun, seramai 530 orang masih ditempatkan di PPS.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan mangsa banjir negeri itu terus meningkat setakat petang tadi dengan 14,143 orang daripada 3,922 keluarga ditempatkan di 186 PPS.

Selain itu, Lebuh Raya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup di kedua-dua hala setakat 4 petang ini, namun air mulai surut.

Mangsa yang terkandas di lebuh raya juga diberikan bantuan sewajarnya seperti makanan dan minuman.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan juga terus meningkat setakat 6 petang ini, apabila seramai 4,324 orang daripada 1,065 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 3,877 orang daripada 903 keluarga, tengah hari tadi membabitkan jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.61 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.21 m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.17 m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (39.20 m); dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.31 m).

Sekitar Rantau Panjang, Kelantan digenangi air petang tadi. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sekitar Rantau Panjang, Kelantan digenangi air petang tadi. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Di Melaka, dua daerah terjejas banjir iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan seramai 729 orang, manakala di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 69 orang berbanding 26 orang di daerah Teluk Intan.

Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa kawasan di negeri ini akan menerima taburan hujan sangat lebat berterusan membabitkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu merekodkan penurunan sedikit kepada 286 orang daripada 66 keluarga setakat 6 petang ini, berbanding 326 orang daripada 101 keluarga pada tengah hari membabitkan daerah Kemaman dan Dungun. – BERNAMA

Tanah runtuh di bahu jalan berdekatan Tahfiz Al-Munawarah, Taman Melawati dan Jalan Bunga Anggerik Dataran Ukay, Hulu Kelang. - Foto PEMBACA
Tanah runtuh di bahu jalan berdekatan Tahfiz Al-Munawarah, Taman Melawati dan Jalan Bunga Anggerik Dataran Ukay, Hulu Kelang. - Foto PEMBACA

Berita Harian X