Ahad, 19 Disember 2021 | 7:41pm
Takiyuddin (dua dari kiri) diberi taklimat oleh Ketua Jurutera Distribution Sistem Operator, Ganesh M Subramaniam (paling kiri) turut hadir, Datuk Ir Baharin Din (dua kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood (paling kanan) - Foto NSTP/TNB
Takiyuddin (dua dari kiri) diberi taklimat oleh Ketua Jurutera Distribution Sistem Operator, Ganesh M Subramaniam (paling kiri) turut hadir, Datuk Ir Baharin Din (dua kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood (paling kanan) - Foto NSTP/TNB

TNB tutup sementara 333 pencawang untuk keselamatan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 333 pencawang elektrik atas faktor keselamatan di Pahang, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berikutan banjir melanda negeri terbabit sejak semalam.

Menurut kenyataan TNB, sehingga jam 12 tengah hari tadi, penutupan itu membabitkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan.

Sementara itu, sebanyak 137 pencawang ditutup di Pahang, Kelantan (7) Selangor (117), Kuala Lumpur (45) Melaka (10) dan Negeri Sembilan (17).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata beliau berpuas hati dengan kesiapsiagaan TNB dalam usaha berterusan menjaga bekalan elektrik dan memastikan keselamatan orang ramai menghadapi bencana banjir.

"Terima kasih kepada warga kerja barisan hadapan TNB yang bertungkus lumus di lapangan dan saya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah keselamatannya," katanya selepas mendengar taklimat mengenai operasi TNB dan langkah yang diambil ketika dan selepas banjir, di Kompleks Ibu Pejabat TNB, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, TNB turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

Katanya, penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

"TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

"Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik- termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.

"Ini berikutan ia mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan," katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati dan elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air.

Berita Harian X