DENGKIL: Pekan Dengkil lumpuh selepas kawasan perumahan dan premis perniagaan ditenggelami banjir, susulan hujan dan air naik sejak 3 pagi tadi.
Tinjauan BH mendapati air naik sejak pagi tadi dan penduduk dipindahkan menggunakan bot bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Premis perniagaan tidak beroperasi dan jalan raya ditutup kepada kenderaan.
Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said, berkata banyak kenderaan yang tidak sempat diselamatkan, selain ada penduduk yang terkandas di kediaman.
Menurutnya, kejadian membabitkan lebih 10,000 mangsa dan banjir kali ini paling buruk selepas pernah berlaku.
Katanya, antara kawasan yang terjejas ialah Taman Emas, Taman Permata,Taman Baiduri, Taman Kristal,Taman Mutiara,Taman Desa dan Taman Dengkil.
"UMNO Sepang menyediakan 10 bot dengan bantuan nelayan bagi memindahkan mangsa, termasuk di Kampung Labu Lanjut, Kampung Semarang dan Taman Gemilang," katanya di sini hari ini.
Sehingga petang ini, kerja menyelamatkan mangsa masih diteruskan dan sebuah helikopter Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memantau keadaan.
Noorazli berkata, air dijangka naik lebih tinggi lewat petang ini dan semua penduduk yang terperangkap perlu diselamatkan segera.
Katanya, 6,000 pek makanan diedarkan dengan bot bagi membantu penduduk yang tinggal di kediaman.