Ahad, 19 Disember 2021 | 4:10pm
Tinjauan Unit Udara PDRM di Shah Alam berikutan hujan berterusan sehingga mengakibatakan beberapa kawasan penempatan penduduk terjejas. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Tinjauan Unit Udara PDRM di Shah Alam berikutan hujan berterusan sehingga mengakibatakan beberapa kawasan penempatan penduduk terjejas. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Unit Udara PDRM meninjau kawasan terjejas banjir di Shah Alam. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Unit Udara PDRM meninjau kawasan terjejas banjir di Shah Alam. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Taburan hujan sebulan dalam 24 jam

KUALA LUMPUR: Hujan kelmarin dan semalam di Selangor menyamai taburan sebulan mengakibatkan air sungai melimpah dan banyak kawasan dilanda banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata data berkenaan dikumpul Kementerian Alam Sekitar dam Air.

Katanya, keadaan itu di luar jangka menyebabkan berlaku kekalutan, tambahan pula agensi menyelamat tidak menjangka air akan meningkat dengan begitu cepat.

"Justeru, berlaku isu kelewatan bagi menyelamatkan mangsa banjir dan memberikan bantuan," katanya dalam sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau operasi menyelamat dan melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia yang menempatkan 690 orang dan PPS SK Telok Gong di Klang (1,200 mangsa).

Selepas itu, beliau mengadakan mesyuarat khas banjir yang dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa Menteri yang lain.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.

Banjir di Shah Alam berikutan hujan berterusan sehingga mengakibatkan beberapa penempatan penduduk terjejas. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Banjir di Shah Alam berikutan hujan berterusan sehingga mengakibatkan beberapa penempatan penduduk terjejas. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Ismail Sabri menegaskan usaha menyelamatkan mangsa banjir di Selangor dan memberikan bantuan termasuk makanan sudah diselesaikan.

Katanya, berbeza dengan persiapan menghadapi banjir di negeri pantai timur, apa yang berlaku di Selangor memang tidak dijangka dan ia pertama kali berlaku membabitkan banyak kawasan.

"Hari ini saya sudah arahkan supaya siapkan keperluan untuk mangsa banjir di PPS termasuk makanan, tempat tidur dan kemudahan tandas.

"Untuk makan malam hingga makan pagi esok akan dibiayai Kerajaan Negeri Selangor. Esok dan seterusnya melalui peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Untuk tempat tidur, saya sudah arahkan diberikan tempat perlindungan bentuk 'cubical box' dengan tilam dan selimut.

"Bagi tandas saya sudah arah ditambahkan tandas mudah alih kerana tandas di PPS tak mencukupi dan kerja pembersihan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerana kebersihan penting ketika ini," katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan kelewatan bantuan seperti yang berlaku semalam tidak berulang dan semua bantuan sudah diarah disegerakan.

"Semalam mungkin kelewatan berlaku kerana kurang persediaan kerana banjir berlaku di luar jangkaan. Hari ini, saya jamin tidak akan timbul lagi masalah sedemikian," katanya.

Berita Harian X