Ahad, 19 Disember 2021 | 4:01pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Penutupan sementara bekalan elektrik untuk keselamatan orang awam

KUALA LUMPUR: Penutupan bekalan elektrik bersifat sementara bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan akan disambung semula apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha sedang giat dijalankan TNB bagi memastikan bekalan elektrik di beberapa kawasan yang terbabit dengan banjir kilat akibat hujan berterusan seperti di Klang, dapat dipulihkan semula.

Menurut kenyataan itu, penyaluran semula bekalan akan dilakukan secara berperingkat tertakluk kepada akses, keadaan setempat dan faktor keselamatan.

"Ketika ini, bagi megelakkan sebarang kejadian buruk, pengguna diminta mengamalkan beberapa panduan keselamatan elektrik.

"Apabila premis dinaiki air, hindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan berlaku renjatan elektrik.

"Jangan sentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam di dalam air banjir walaupun ia bersalut dengan penebat dan sekiranya perlu berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama," menurut kenyataan itu.

Pengguna seterusnya diingatkan memastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik.

"Sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem itu sebelum keluar rumah bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian rumah.

"Hindari daripada menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik," menurut kenyataan itu.

TNB turut menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkannya melalui talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine sekiranya premis mereka dinaiki air pada paras bahaya supaya bekalan elektrik dapat dihentikan.

"Pengguna juga disarankan untuk menghubungi TNB sekiranya ternampak kejanggalan pada pepasangan syarikat utiliti itu yang terkesan akibat banjir," menurut kenyataan itu.

BH melaporkan seorang lelaki meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di premis perniagaan Taman Deluxe di sini, hari ini.

Mangsa berumur 30-an itu terkena renjatan elektrik ketika melalui kawasan premis perniagaan berkenaan dan kerja menyelamat dilakukan menggunakan tali untuk menarik mangsa.

Berita Harian X