Ahad, 19 Disember 2021 | 3:37pm
Penduduk kampung menggunakan bot untuk aktiviti harian berikutan jalan utama yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus kerana limpahan air Sungai Kelantan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Lima sungai melebihi paras bahaya

KOTA BHARU: Lima sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas, susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Sungai terbabit ialah Sungai Lebir di Kampung Karangan, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Kampung Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang, setakat jam 2 petang tadi.

Menurut laman web https: publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran, iaitu Sungai Kusial di Kusial Baru dekat Tanah Merah dan Sungai Golok di Kampung Jenob.

Tiga lagi sungai melebihi paras waspada iaitu Sungai Lebir di Kuala Koh di Gua Musang, Sungai Pahi di Kampung Pahi dekat Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, dekat Kota Bharu.

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 4,159 orang sehingga petang ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa banjir daripada 992 keluarga itu berada di 48 PPS di lima daerah.

Enam jalan masih ditutup iaitu tiga di Kuala Krai, dua Tanah Merah dan satu di Machang.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai dan Kampung Kuala Hau-Temangan di Machang.

Selain itu, dua jalan di Tanah Merah iaitu Jalan Tanah Merah- Kusial- Kampung Ipoh dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah.

Jalan utama Kuala Krai menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus hubungan selepas berlaku limpahan air Sungai Kelantan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Jalan utama Kuala Krai menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus hubungan selepas berlaku limpahan air Sungai Kelantan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Berita Harian X