Ahad, 19 Disember 2021 | 2:36pm
Muhyiddin mendakwa ada pihak sengaja melambatkan pelaksanaan 5G untuk kepentingan tertentu. - Foto BERNAMA
Muhyiddin mendakwa ada pihak sengaja melambatkan pelaksanaan 5G untuk kepentingan tertentu. - Foto BERNAMA

Pelaksanaan 5G lambat kerana kepentingan pihak tertentu

PUTRAJAYA: Isu penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) tidak harus dipolitikkan oleh pihak yang sengaja ingin melambat-lambatkan pelaksanaan teknologi 5G untuk kepentingan tertentu.

Sebaliknya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata untuk merangsang pertumbuhan ekonomi masa depan, terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kerajaan wajar mempercepat pelan digitalisasi negara yang juga termasuk pelaksanaan jaringan 5G yang menyeluruh di negara ini.

Beliau berkata, ketika ini, negara agak terlewat dalam melaksanakan 5G kerana syarikat telekomunikasi mempunyai keutamaan yang berbeza, yang hanya berminat untuk menyediakan perkhidmatan 5G di kawasan penduduk padat dengan permintaan yang tinggi.

Katanya, ia menyebabkan 'roll out' 5G di luar bandar bandar dengan jumlah penduduk yang rendah dan permintaan yang rendah akan terbantut.

"Kerana itu, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan untuk mempercepat 'roll out' 5G di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga yang murah kepada rakyat, termasuk di luar bandar.

"Jadi, janganlah ada pihak yang sengaja ingin melambatkan pelaksanaan 'roll out' 5G untuk kepentingan tertentu dengan mempolitikkan isu DNB. Saya berasa cukup hairan pihak yang mempertahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekarang ingin menyamakan DNB dengan 1MDB.

"Tolonglah. Jangan hina kecerdikan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara, hari ini.

Muhyiddin berkata, 1MDB satu skim penipuan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan wang puluhan bilion ringgit dipindahkan ke akaun syarikat luar pesisir yang diragui dan kemudiannya hilang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir hadir ke perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB serta salah guna kedudukan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto NSTP/ZULFADHLI ZULKIFLI
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir hadir ke perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB serta salah guna kedudukan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto NSTP/ZULFADHLI ZULKIFLI

Katanya, DNB mempunyai struktur tadbir urus yang jelas, diurus oleh mereka yang profesional dengan dana digunakan untuk pembinaan projek infrastruktur oleh syarikat yang berwibawa dan Perdana Menteri tidak menjadi penasihat yang berkuasa besar dalam DNB.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan akan meneruskan 'roll out' 5G berdasarkan model 'Single Wholesale Network' seperti yang diputuskan serta tidak boleh terganggu dengan tindakan pihak tertentu yang cuba menggagalkan pelaksanaan projek strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara dan bakal menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih murah kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak perlu menunggu kebenaran kerajaan Singapura untuk meneruskan kembali pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Beliau berkata, tanpa pembabitan Singapura, Malaysia akan mempunyai kawalan sepenuhnya dalam melaksanakan projek infrastruktur strategik negara, selain boleh membuat keputusan yang melindungi kepentingan negara tanpa campur tangan pihak asing.

Katanya, perjanjian HSR yang ditandatangani kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempunyai terma-terma berat sebelah yang disifatkannya sebagai mencabuli hak kedaulatan negara ini, antaranya kawalan Singapura terhadap AssetsCo yang akan mengendalikan operasi HSR di Malaysia.

"Semasa saya menjadi Perdana Menteri, kita batalkan perjanjian dengan Singapura untuk pembinaan HSR atas faktor kedaulatan negara. Dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara kita.

"Sebuah konsortium swasta boleh diwujudkan untuk membina projek ini dari selatan ke utara tanah air dengan pembiayaan pihak swasta sepenuhnya, termasuk menanggung kos pengambilan tanah.

"Melalui cara ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi membina dan memiliki projek ini. Saya yakin projek ini berdaya maju untuk jangka masa panjang," katanya.

Berita Harian X