Ahad, 19 Disember 2021 | 12:24pm
Mangsa banjir membuat pendaftaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam selepas rumah mereka dinaiki air. - Foto Bernama
Mangsa banjir membuat pendaftaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam selepas rumah mereka dinaiki air. - Foto Bernama

Mangsa banjir di pusat pemindahan dinasihat patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dalam usaha mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata SOP sebagai garis panduan itu penting khususnya kepada mangsa banjir bagi mengelak penularan berlaku di PPS, di samping memastikan mereka bebas dari sebarang jangkitan lain disebabkan banjir.

Bagi memastikan penularan dikawal, katanya mangsa banjir perlu disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS.

"Mangsa yang bergejala pula akan diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 untuk mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

"Mangsa banjir yang bergejala, berisiko, atau positif COVID-19 akan diasingkan bagi mengelakkan penularan kepada mangsa banjir yang lain," katanya di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana kes positif COVID-19 juga akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau PPS Khas, atau dirujuk hospital mengikut keperluan.

"Kontak rapat atau Patient Under Surveillance (PUS) akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok; dan mangsa bergejala (tetapi negatif ujian saringan COVID-19) perlu dikuarantin," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa pihak berkuasa dan mengelak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis dan melioidosis yang ditularkan melalui air banjir tercemar.

"Gunakan alat pelindung diri seperti kasut dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika membabitkan banjir lumpur.

"Pastikan sumber air minuman sudah dimasak dan makanan yang digunakan adalah bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A, dan acute gastroenteritis (AGE)," katanya.

Selain itu katanya, sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak selain mengelak mengambil makanan yang terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi empat jam atau ada perubahan rasa, bau atau tesktur.

"Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air serta elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya dipastikan selamat.

"Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika anda mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X