Ahad, 19 Disember 2021 | 10:55am

Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat

KUANTAN: Seramai 5,686 mangsa banjir daripada 1,575 keluarga kini berada di 131 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, setakat jam 9.45 pagi, hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding petang semalam iaitu 47 PPS yang dibuka membabitkan 1,232 mangsa banjir daripada 331 keluarga.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang dibuka setakat ini di Pahang ialah di daerah Raub, Maran, Lipis, Jerantut, Kuantan, Temerloh dan Pekan.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya) di enam daerah di Pahang iaitu Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan.

Amaran hujan berterusan buruk pula di Temerloh, Maran dan Pekan manakala waspada di Bera dan Rompin.

Pada masa sama, sebanyak 19 sungai melepasi paras bahaya di Pahang manakala sembilan sungai melepasi paras amaran dan berjaga-jaga pula membabitkan enam sungai.

Keadaan banjir di Taman Impian Perdana, Kuantan. -Foto NSTP/Asrol Awang
Keadaan banjir di Taman Impian Perdana, Kuantan. -Foto NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X