Ahad, 19 Disember 2021 | 10:15am
Cuaca diramalkan buruk pada hari ini dijangka menyukarkan pencarian 16 mangsa yang disyaki masih hilang, susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi.- Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Cuaca diramalkan buruk pada hari ini dijangka menyukarkan pencarian 16 mangsa yang disyaki masih hilang, susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi.- Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia

Cuaca buruk sukarkan pencarian mangsa bot karam

KOTA TINGGI: Cuaca diramalkan buruk pada hari ini dijangka menyukarkan pencarian 16 mangsa yang disyaki masih hilang, susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysi) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata kelajuan angin dianggarkan 40 hingga 50 kilometer sejam, selain ombak pula setinggi 2.5 hingga 3.5 meter serta ribut petir di beberapa tempat.

"Op Carilamat yang memasuki hari kelima dengan tiada penemuan mangsa baharu sehingga jam 8 pagi ini.

"Pencarian diteruskan menggunakan empat aset laut dengan keluasan sektor pencarian seluas 111 batu nautika persegi, manakala helikopter AW139 Maritim Malaysia akan melaksanakan pencarian udara meliputi sektor carian seluas 76.50 batu nautika persegi.

"Misi pencarian di pesisir pantai diteruskan petugas Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi Tanjung Siang hingga ke Sungai Musuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 61 petugas pelbagai agensi digerakkan merangkumi pencarian di udara, laut dan darat.

Terdahulu, media melaporkan, dalam kejadian pada awal pagi Rabu lalu, bot pancung yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak dalam kejadian di perairan Tanjung Balau, di sini.

Sehingga kini, jumlah mangsa yang ditemui adalah seramai 34 orang iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat manakala 16 lagi disyaki masih hilang.

Berita Harian X