Ahad, 19 Disember 2021 | 9:52am
Banjir kilat akibat limpahan air sungai dan perparitan mengakibatkan beberapa jalan di sekitar ibu kota ditenggelami air dan tidak boleh dilalui. - Foto BERNAMA
Banjir kilat akibat limpahan air sungai dan perparitan mengakibatkan beberapa jalan di sekitar ibu kota ditenggelami air dan tidak boleh dilalui. - Foto BERNAMA

5,731 PPS dikenal pasti tampung 1.63 juta mangsa banjir

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lalu dan dijangka berakhir Mac 2022.

"Setakat jam 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

"Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rina berkata bagi menangani penularan COVID-19, kesemua mangsa akan melalui saringan COVID-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes COVID-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan.

Penduduk melihat kediamannya dinaiki air di Kampung Chalok Kedai. Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu. - NSTP/Ghazali Kori
Penduduk melihat kediamannya dinaiki air di Kampung Chalok Kedai. Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu. - NSTP/Ghazali Kori

Beliau berkata kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

"Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi," katanya.

Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya. - BERNAMA

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto NSTP
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto NSTP

PPS SK Gual To'Deh, Kelantan telah dibuka semalam. - NSTP/Syaherah Mustafa
PPS SK Gual To'Deh, Kelantan telah dibuka semalam. - NSTP/Syaherah Mustafa

Berita Harian X