Ahad, 19 Disember 2021 | 9:45am

Mangsa banjir Kelantan meningkat 3,661 orang

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 3,661 orang daripada 829 keluarga sehingga jam 8 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir itu berada di 43 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Mangsa banjir berkenaan membabitkan 1,140 lelaki dewasa, 1,197 wanita dewasa, 686 kanak-kanak dan bayi lelaki, 656 kanak-kanak dan bayi perempuan, 139 warga emas serta 24 orang kurang upaya (OKU).

Mangsa banjir di Gua Musang menunjukkan pertambahan apabila beberapa PPS baharu dibuka menjadikan jumlah seramai 2,330 orang berada di 15 PPS.

Daerah Kuala Krai mencatatkan jumlah mangsa banjir 1,017 orang di 21 PPS, Jeli (137 orang) di tiga PPS, Tanah Merah (92 orang) dua PPS dan Pasir Mas (88 orang) di dua PPS.

Sementara itu, menurut portal eBanjir Kelantan, lima jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu tiga di Kuala Krai dan dua di Machang.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai dan Jalan Pangkal Meleret - Wakaf Bata, Kampung Kuala Hau- Temangan di Machang.

Tinjauan pemandangan di udara keadaan banjir jalan utama Kuala kKai yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tinjauan pemandangan di udara keadaan banjir jalan utama Kuala kKai yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X