Ahad, 19 Disember 2021 | 9:39am
Penduduk Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang dipindahkan susulan dilanda banjir, hari ini. - NSTP/Ihsan IHSA
Penduduk Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang dipindahkan susulan dilanda banjir, hari ini. - NSTP/Ihsan IHSA

Banjir di Kelantan bertambah buruk, cecah 3,661 mangsa

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 3,661 orang daripada 829 keluarga sehingga jam 8 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir itu berada di 43 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Mangsa banjir berkenaan membabitkan 1,140 lelaki dewasa, 1,197 wanita dewasa, 686 kanak-kanak dan bayi lelaki, 656 kanak-kanak dan bayi perempuan, 139 warga emas serta 24 orang kurang upaya (OKU).

Mangsa banjir di Gua Musang menunjukkan pertambahan apabila beberapa PPS baharu dibuka menjadikan jumlah seramai 2,330 orang berada di 15 PPS.

Penduduk meredah banjir susulan hujan lebat sejak 4 hari lalu di Jalan Lebai Loh di Kampung Ulu Kusial merentasi laluan utama Tanah Merah-Jeli. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penduduk meredah banjir susulan hujan lebat sejak 4 hari lalu di Jalan Lebai Loh di Kampung Ulu Kusial merentasi laluan utama Tanah Merah-Jeli. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Daerah Kuala Krai mencatatkan jumlah mangsa banjir 1,017 orang di 21 PPS, Jeli (137 orang) di tiga PPS, Tanah Merah (92 orang) di dua PPS dan Pasir Mas (88 orang) di dua PPS.

Sementara itu, menurut portal eBanjir Kelantan, lima jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu tiga di Kuala Krai dan dua di Machang.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai dan Jalan Pangkal Meleret - Wakaf Bata, Kampung Kuala Hau- Temangan di Machang.

Tinjauan di jalan utama Kuala krai yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus hubungan selepas berlaku limpahan air Sungai Kelantan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tinjauan di jalan utama Kuala krai yang menghubungkan Kampung Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh terputus hubungan selepas berlaku limpahan air Sungai Kelantan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X