Ahad, 19 Disember 2021 | 8:43am

Nenek 80 tahun redah banjir tengah malam

RANTAU PANJANG: Nenek berusia 80 tahun mengalami detik getir terpaksa meredah banjir sejauh 800 meter (m) dalam suasana gelap dan sunyi susulan kediamannya mula dinaiki air separas satu meter di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini, semalam.

Mekyam Hamat, berkata dia tidak menyangka air naik begitu cepat pada waktu malam menyebabkan dia sekeluarga terpaksa meredah banjir segera pada 12 tengah malam bagi menyelamatkan diri bertemankan lampu suluh sahaja ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini.

Katanya, dia sudah tidak dapat berjalan jauh apatah lagi mengharungi banjir, jadi cucunya, Muhammad Shahmi Abd Majid, 17, terpaksa membawanya menaiki perahu melalui ladang sawit sebelum membonceng motosikal di jalan utama untuk ke PPS yang juga dinaiki air separas 0.3 m.

"Dalam kegelapan dan kesejukan, saya hanya mampu berdoa semoga selamat sampai ke PPS dan dalam masa sama berasa kasihan kepada anak serta cucu yang terpaksa menguruskan saya yang tidak begitu sihat.

"Selain memikirkan keselamatan diri berikutan air juga semakin deras, saya takut akan haiwan berbisa seperti ular, lipan atau kala jengking yang mudah ditemukan apabila bah melanda. Namun, Alhamdulillah semua keluarga saya selamat dan kini tumpang berteduh di PPS berkenaan.

"Ketua kampung juga memberi kerjasama baik memudahkan urusan pendaftaran kami di PPS, tambahan pula kami memang diketahui antara keluarga yang paling awal berpindah pada setiap tahun," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, semalam.

Mekyam berkata, pemindahan berkenaan adalah yang ketiga untuk tahun ini sejak November lalu, apabila penempatan mereka beberapa kali dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok selain faktor taburan hujan yang tinggi.

"Sebenarnya berpindah ke PPS sudah menjadi rutin tahunan buat seluruh keluarga saya sejak mula tinggal di kampung itu 20 tahun yang lalu. Ada sahaja niat mahu berpindah, namun apakan daya di situ sahaja tanah yang kami ada untuk tinggal.

"Jadi, kami hanya mampu reda dan berdoa supaya tiada insiden tidak diingini berlaku serta berharap rumah kami dapat terus kukuh 'berdiri' walaupun selalu ditenggelami air. Kadang-kadang rasa bimbang kerana ada antara rumah yang masih dibina menggunakan kayu di penempatan ini.

"Bagaimanapun, saya bersyukur sudah selamat di sini, dan berterima kasih kepada semua anggota keselamatan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sentiasa memberi khidmat terbaik untuk kami di sini," katanya yang juga mempunyai 22 cucu.

Mekyam Hamat, 80, bersama cucunya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara SK Gual To'Deh, di sini, semalam. - Foto NSTP Syaherah Mustafa
Mekyam Hamat, 80, bersama cucunya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara SK Gual To'Deh, di sini, semalam. - Foto NSTP Syaherah Mustafa
Berita Harian X