Ahad, 19 Disember 2021 | 8:11am
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin menasihati kanak-kanak supaya jangan terlalu leka bermain banjir bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku ketika tinjauan di Kampung Manek Urai Lama. Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin menasihati kanak-kanak supaya jangan terlalu leka bermain banjir bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku ketika tinjauan di Kampung Manek Urai Lama. Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Tiga pusat pemindahan kes positif COVID-19 dibuka di Kuala Krai

KUALA KRAI: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai dibuka khusus untuk menempatkan kes positif COVID-19 dan kuarantin bagi memastikan tiada penularan COVID-19 di PPS.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin, berkata tiga PPS berkenaan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yahya Petra 1, SK Dabong, dan SK Manek Urai Baru.

Bagaimanapun, katanya setakat ini maklumat yang diperoleh daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai, masih belum ada mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan sepertimana yang ditetapkan.

"Dalam norma baharu, ujian saringan adalah prosedur wajib yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

"Prosedur ini mesti dipatuhi untuk mengesan sama ada berlaku jangkitan atau tidak dalam kalangan mangsa banjir yang dipindahkan di PPS dan jika positif, maka perlu diasingkan di tempat khas bagi membendung penularan wabak ini menjadi lebih serius," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Kampung Manek Urai Lama, di sini.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 20 PPS yang dibuka di Kuala Krai yang menempatkan lebih 700 mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Rizwan turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadikan banjir yang melanda di beberapa kawasan sebagai pesta air.

"Kebanyakan masyarakat beranggapan banjir bukan bencana sehingga ghairah bermain air. Harus diingatkan, kejadian yang tidak diingini seperti lemas boleh sahaja berlaku walaupun sesuatu aktiviti itu dianggap sekadar hiburan atau riadah," katanya.

Katanya, terdapat 20 perkampungan kecil di Kuala Krai sudah dilanda banjir termasuklah di Kampung Manek Urai, Kampung Mesek, Kampung Gajah, Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Kampung Kuala Pertang, dan Kampung Guchil.

Berita Harian X