Ahad, 19 Disember 2021 | 12:49am
Tanah runtuh di Hulu Kelang. NSTP/Gambar ihsan PDRM
Tanah runtuh di Hulu Kelang. NSTP/Gambar ihsan PDRM

Tanah runtuh di Taman Melawati, Hulu Kelang

KUALA LUMPUR: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di bahu jalan berdekatan Tahfiz Al-Munawarah, Taman Melawati dan Jalan Bunga Anggerik Dataran Ukay, Hulu Kelang, dekat Ampang, malam tadi.

Berikutan itu, satu keluarga membabitkan seorang lelaki, seorang wanita dan seorang bayi, selain 12 lelaki pelajar tahfiz yang terkesan tanah runtuh dekat Taman Melawati dipindahkan ke Dewan Kampung Kemensah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata empat anggotanya dengan bantuan lima anggota bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut membuat kawalan serta pemantauan di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan awal dan giat menyiasat kejadian tanah runtuh di Dataran Ukay.

"Selain itu, kita terima laporan paras air naik dan melimpah di kawasan Kampung Pinggir 3, Lembah Jaya Utara, malam tadi.

"Mangsa terkesan dipindahkan ke Dewan MPAJ, namun jumlahnya belum dapat dipastikan lagi. Empat anggota polis membuat kawalan di kawasan itu dibantu empat anggota bomba dan MPAJ.

"Tiada sebarang penutupan jalan dibuat. Kita juga mendapati jalan di hadapan sebuah pasar raya di Bandar Baru Ampang dinaiki air tetapi masih boleh dilalui kenderaan," katanya kepada BH, hari ini.

Berita Harian X