Ahad, 19 Disember 2021 | 12:01am
Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) di Astana Negeri, Petra Jaya malam ini. - Foto BERNAMA

Abang Johari angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak, selepas gabungan empat parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Abang Johari yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini.

Turut hadir isteri Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan isteri Abang Johari, Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang.

Hadir sama menyaksikan upacara itu ialah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam barisan Kabinet sebelum ini.

Ini kali kedua Abang Johari, yang hari ini memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada PRN12, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, Petra Jaya. - Foto BERNAMA
Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, Petra Jaya. - Foto BERNAMA

Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani watikah sebagai Ketua Menteri Sarawak di Astana Negeri, Petra Jaya malam ini. - Foto BERNAMA
Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani watikah sebagai Ketua Menteri Sarawak di Astana Negeri, Petra Jaya malam ini. - Foto BERNAMA

Kali pertama adalah pada 13 Januari 2017, sebagai menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Beliau mengetuai GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk pertama kali bertanding pada PRN menggunakan lambang sendiri.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan GPS yang diketuai Abang Johari menang 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan pada PRN12 setakat jam 8.45 malam ini.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dengan keputusan itu, GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertanding atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.– BERNAMA

Berita Harian X