BUKIT KAYU HITAM: Tindakan sekumpulan 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memanjat pagar keselamatan sempadan ketika hujan lebat untuk masuk ke negara ini gagal apabila mereka ditahan, semalam.
Kesemua mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun ditahan sepasukan anggota dari Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim pada jam 6 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di kawasan semak berhampiran tangki air BKH 3 di sini dalam Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand.
Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggotanya menemui kesemua PATI terbabit sedang bersembunyi di kawasan semak.
"Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah masuk ke negara ini. Berikutan itu, mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk laporan dan tindakan lanjut," katanya, hari ini.
Md Dali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 ( 1 )( 3 )( C ) Akta Imigresen 1963.
Sementara itu katanya, sejak 1 Disember lalu, Batalion 2 PGA merampas 4,131 kilogram (kg) daun ketum dengan anggaran nilai RM123,930 serta 218 bungkusan air ketum anggaran nilai RM1,484.
Beliau berkata, turut dirampas adalah rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM25,906, tiga motosikal dengan anggaran RM164,602.