Sabtu, 18 Disember 2021 | 5:59pm
Penduduk kampung, Azli Shafii, berteduh di gerai berikutan hujan berterusan sehingga menyebabkan paras air naik sedalam setengah meter di Jalan Lebai Leh, di Kampung Ulu Kusial, Tanah Merah, Kelantan. - Foto BERNAMA
Penduduk kampung, Azli Shafii, berteduh di gerai berikutan hujan berterusan sehingga menyebabkan paras air naik sedalam setengah meter di Jalan Lebai Leh, di Kampung Ulu Kusial, Tanah Merah, Kelantan. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat mendadak kepada 2,046 orang sehingga jam 5 petang ini yang berada di 24 pusat pemindahan sementara (PPS).

Mereka daripada 472 keluarga berada di PPS di lima daerah iaitu iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir berkenaan membabitkan 653 lelaki dewasa, 673 wanita dewasa, 374 kanak-kanak dan bayi lelaki, 346 kanak-kanak dan bayi perempuan, 70 warga emas serta 10 orang kurang upaya (OKU).

Mangsa banjir di Gua Musang mencatat peningkatan kepada 1,416 orang yang berada di enam PPS berbanding 1,058 pada jam 3 petang tadi. Satu PPS baharu dibuka di Gua Musang iaitu di Balai Raya Felda Chiku 3 yang menempatkan 191 mangsa.

Jumlah mangsa di Kuala Krai turut meningkat kepada 436 orang di 12 PPS, Jeli 91 orang di tiga PPS, Tanah Merah 67 orang di dua PPS dan Pasir Mas 36 di satu PPS.

Mengikut portal eBanjir Kelantan, beberapa jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan termasuk Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal, Jalan Jirat dan Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi di Kuala Krai.

Selain itu, Jalan Pangkal Meleret - Limau Hantu dan Jalan Machang - Pangkal Meleret - Wakaf Bata, Jalan Kampung Kuala Hau/ Temangan, di Machang.

Berita Harian X