Sabtu, 18 Disember 2021 | 5:42pm
Haslin Musa, ibu kepada seorang daripada 10 mangsa, Muhamad Rahimi Rolex ketika menunggu di perkarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Haslin Musa, ibu kepada seorang daripada 10 mangsa, Muhamad Rahimi Rolex ketika menunggu di perkarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas

SHAH ALAM: "Saya sempat berbual dengan abang kira-kira jam 10 malam tadi ketika dia pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu membaiki kerosakan kereta rakannya di jalan raya," kata Muhamad Farhan Rolex.

Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, seorang daripada 10 yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam di sini, malam tadi.

Bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang walaupun waktu itu sudah jam 12.30 tengah malam.

"Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau," katanya di bilik mayat Hospital Shah Alam.

Muhamad Farhan berkata sudah menjadi kebiasaan bagi abangnya yang juga mekanik, menghulurkan bantuan kepada pemandu yang kenderaan mereka rosak di jalan raya.

Difahamkan rakan kepada Mohamad Rahimi yang meminta bantuan bagi membaiki kereta Perodua Axianya turut patah kaki dalam nahas itu.

Sementara itu, tinjauan di bilik mayat hospital itu mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai mangsa.

Selain Mohamad Rahimi, nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler itu yang melibatkan 17 mangsa, turut mengorbankan seorang wanita dan lapan anaknya. – BERNAMA

Berita Harian X