Sabtu, 18 Disember 2021 | 5:33pm
 Simon (tengah) pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau, hari ini.
Simon (tengah) pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau, hari ini.

Indonesia, Singapura bantu cari PATI hilang

KOTA TINGGI: Pencarian baki 16 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang masih hilang dalam insiden bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi di sini, mendapat kerjasama dari negara jiran, Singapura dan Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, setakat ini kerjasama daripada negara jiran amat baik.

Katanya, pihaknya menggunakan kaedah Navigational Telex (NAVTEX) dan e-mail yang disalurkan Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya kepada pusat carilamat negara jiran.

"Kejadian ini dimaklumkan kerajaan Malaysia melalui MRCC Putrajaya dan Kementerian Luar kepada negara jiran.

"Kementerian Luar dan wakil konsulat Indonesia juga tampil sejak hari pertama kejadian. Kerjasama itu bagi memastikan negara berkenaan berhubung dengan Malaysia jika mengesan penemuan," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau, hari ini.

Simon berkata, sehingga jam 3 petang tadi, tiada penemuan mayat dilaporkan pasukan penyelamat.

"Buat masa ini, jumlah mangsa dipercayai hilang kekal 16 orang. Kawasan pencarian diperluaskan pada hari ini, disebabkan petunjuk pada hari ketiga semalam selepas menemui satu mayat di perairan Tanjung Punggai, Pengerang.

"Keadaan cuaca tidak menentu, hujan dan ombak besar mengehadkan penglihatan sewaktu operasi mencari dilakukan," katanya.

Semalam, terdapat satu mayat lelaki ditemui di Perairan Tanjung Punggai, manakala salah seorang daripada 14 mangsa yang selamat disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ia menjadikan jumlah mangsa yang ditemui 34 iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat dan 16 lagi masih hilang.

Kelmarin, lapan mayat lagi ditemui pada hari kedua operasi dengan 11 mayat ditemui terdampar di Pantai Tanjung Balau pada pagi Rabu.

Berita Harian X