Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:43pm
Ab Rauf Yusoh merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, hari ini. FOTO NSTP/AMIR MAMAT
Ab Rauf Yusoh merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, hari ini. FOTO NSTP/AMIR MAMAT

UMNO Masjid Tanah lulus usul pemilihan parti selepas PRU-15

MASJID TANAH: UMNO Bahagian Masjid Tanah mahu pemilihan parti di semua peringkat ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata perkara itu dipersetujui 422 perwakilan yang hadir Mesyuarat Agung UMNO bahagian berkenaan, hari ini.

"Menerusi usul yang kami dibentangkan tadi, semua perwakilan bersetuju supaya pemilihan parti ditangguhkan sehingga PRU-15 tamat.

"Usul berkenaan akan diserahkan kepada ibu pejabat parti untuk diperhalusi dan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bulan depan," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, berkata mesyuarat perwakilan itu juga memutuskan untuk mengkaji permohonan Wanita UMNO bahagian terbabit yang mahu sebanyak 30 peratus peranan golongan itu dalam tadbir urus negeri.

Katanya, turut dipersetujui, persediaan awal jentera parti di peringkat bahagian Masjid Tanah dalam menghadapi PRU-15 dengan mengambil kira prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

"Walaupun kecemerlangan kita terserlah dengan kemenangan 21 kerusi, tetapi perincian dan kajian mengenai kecenderungan pengundi dan pandemik COVID-19 juga harus di ambil kira dalam memastikan kecemerlangan BN pada PRU-15 kelak," katanya.

Berita Harian X