Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:22pm
 Hasan berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin hari ini. NSTP/AMIR MAMAT
Hasan berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin hari ini. NSTP/AMIR MAMAT

'Sokong Ismail Sabri hingga tamat penggal 2023'

JASIN: UMNO Bahagian Jasin meluluskan usul untuk memberi sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

Usul khas dibacakan Setiausaha UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Kalam Hassan mendapat sokongan sebulat suara daripada 271 perwakilan yang hadir.

Turut mendapat sokongan perwakilan adalah usul supaya pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata usul khas menyokong kepemimpinan Ismail Sabri itu bagi memastikan Perdana Menteri dapat melaksanakan agenda pemulihan negara berteraskan konsep Keluarga Malaysia dengan semua kaum hidup dalam suasana harmoni, aman dan makmur.

Justeru, katanya, Ahli Parlimen Bera itu wajar diberikan peluang memimpin negara sehingga PRU-15 kelak.

"Seluruh perwakilan bahagian ini memberi sokongan padu kepada segala usaha dibuat Perdana Menteri dalam gagasan Aspirasi Keluarga Malaysia khususnya untuk memulihkan rakyat dan negara daripada pandemik COVID-19 serta melaksanakan pelbagai program bagi mensejahterakan rakyat," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Roslan Ahmad; Naib Ketua, Datuk Zaidi Atan; Ketua Pemuda UMNO yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ketua Puteri UMNO bahagian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, pemilihan parti pula perlu diadakan selepas PRU-15 bagi memastikan kestabilan dan keharmonian parti terpelihara.

Katanya, jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15, pasti berlaku perpecahan dalam kalangan ahli, sekali gus mewujudkan banyak kumpulan tertentu sehingga menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) menang cemerlang pada pilihan raya kelak.

"Tiada siapa ingin melihat perpecahan dalam parti berlaku pada PRU-15 dan jika ia berlaku, peluang BN menang akan terbantut," katanya.

Berita Harian X