Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:02pm

Mangsa banjir di Kelantan meningkat 1,614 orang

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,614 orang setakat jam 3 petang ini berbanding 1,219 orang 12 tengah hari tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa paling ramai adalah di Gua Musang iaitu 1,058 orang ditempatkan di lima PPS.

Kuala Krai pula mencatatkan jumlah 404 orang di 13 PPS; Jeli 66 di dua PPS; Tanah Merah 50 orang di tiga PPS dan Pasir Mas 36 di satu PPS.

Beberapa jalan juga ditutup termasuk Jalan Tanah Merah-Jeli iaitu di Lebai Loh dekat Kampung Ulu Kusial, Tanah Merah selepas dinaiki air sedalam 0.05.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim menasihatkan kepada penduduk di daerah itu yang terjejas dengan banjir supaya menjaga diri dan keluarga.

"Kita sentiasa membuat pemantauan di kawasan kampung dan lokasi terjejas untuk memastikan penduduk selamat dan tidak terperangkap dalam banjir," katanya.

Mangsa banjir ditempatkan di SMK Tengku Indera Petra 1, Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. FOTO IHSAN APM
Mangsa banjir ditempatkan di SMK Tengku Indera Petra 1, Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. FOTO IHSAN APM
Berita Harian X