Sabtu, 18 Disember 2021 | 3:14pm
Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Seremban, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Seremban, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

Bentang segera akta anti lompat parti - Mat Hasan

SEREMBAN: UMNO Bahagian Rembau mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti segera dibentang di Parlimen kerana isu berkenaan menyebabkan ketidakstabilan negara.

Ketuanya yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sudah sampai masanya rang undang-undang bagi mengelakkan 'jual beli' ahli politik selepas menang pilihan raya diwujudkan.

"Apabila menang pilihan raya, sepatutnya kekal dalam parti yang diwakili, tetapi berlaku lompat parti yang mengakibatkan keadaan tidak baik dan kestabilan negara terjejas.

"UMNO Bahagian Rembau membuat usul dengan menggesa ahli Parlimen, baik dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan supaya mempercepatkan pembentangan RUU anti lompat parti ini.

"Mungkin RUU ini bercanggah dengan konvesyen antarabangsa, namun perlu yang membolehkan pengundi membuat petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berkenaan, di sini hari ini.

Mohamad berkata, cadangan itu dipersetujui perwakilan UMNO bahagian pada mesyuarat hari ini kerana menggangap perbuatan berkenaan sebagai mengkhianati mandat diberikan pengundi.

Beliau berkata, usul lain yang dikemukakan, termasuk UMNO perlu berpegang kepada resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang memutuskan tidak bekerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

"UMNO ambil jalan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti ketika PRU-15, apa juga perkara membabitkan kepentingan selepas PRU untuk menubuhkan kerajaan atau mengukuhkan kestabilan politik demi kepentingan negara akan dibincangkan selepas PRU," katanya.

Mengenai PRU-15, beliau berkata, lima pemimpin tertinggi UMNO, termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri akan berbincang untuk merangka strategi mengenai pilihan raya akan datang.

"Apa juga keputusan dibuat kepemimpinan tertinggi parti kelak mestilah membawa kebaikan kepada parti, bukannya kepentingan mana-mana indvidu," katanya menambah pandangan mengenai bila pemilihan UMNO sesuai diadakan, sama ada sebelum atau selepas PRU-15, juga akan ditentukan melalui perbincangan lima pemimpin berkenaan.

"Semua usul-usul dari bahagian akan diteliti, namun keputusan yang akan dibuat dan apa yang saja kerja yang hendak dibuat nanti mesti menjurus kepada kebaikan kepada parti," katanya yang sebelum ini memaklumkan, pemilihan UMNO dijadualkan pada November tahun depan.

UMNO Bahagian Jelebu sebelum ini mencadangkan agar pemilihan parti bagi penggal 2021 hingga 2024 yang kini ditangguhkan sehingga Disember 2022 dibuat sekurang-kurangnya setahun sebelum PRU-15.

Berita Harian X