Sabtu, 18 Disember 2021 | 2:46pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Pelawat 6 negara wajib kemuka sijil vaksinasi - Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Pelawat dari enam negara meliputi Indonesia, diwajib untuk mengemukakan sijil vaksinasi COVID-19 yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi sebelum mengunjungi negara itu, termasuk bagi tujuan umrah.

Menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu perkongsian infografik melalui Twitter rasmi, negara lain yang turut diwajibkan memenuhi syarat serta protokol terbaru itu ialah India, Pakistan, Mesir, Vietnam dan Brazil.

Pelawat dari negara terbabit dan sudah lengkap dos vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson, dibenarkan memasuki Arab Saudi tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Pengunjung yang menerima vaksin Sinopharm, Sinovac atau Covaxin dan memiliki sijil vaksinasi diiktiraf pula perlu menjalani kuarantin wajib tiga hari di pusat kuarantin ditetapkan.

Menurut kementerian itu, 'sijil vaksinasi diiktiraf' bermaksud diakui sah oleh Kementerian Kesihatan (MoH) Arab Saudi dan diluluskan secara elektronik melalui kod QR.

"Mereka juga perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) selepas 48 jam dari tarikh mula kuarantin," menurut kementerian itu.

Pelawat yang memiliki sijil vaksinasi belum diiktiraf, wajib menjalani kuarantin di institusi ditetapkan selama lima hari serta mengemukakan keputusan negatif ujian PCR pada hari pertama dan kelima kuarantin.

Bagi jemaah asing dari negara lain termasuk Malaysia, tiada sijil vaksinasi diperlukan dan dibenarkan memasuki Arab Saudi tanpa menjalani proses kuarantin sekiranya telah lengkap dos vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.

Namun, jemaah yang lengkap dos vaksin sama ada Sinopharm, Sinovac atau Covaxin, perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu selama tiga hari di pusat kuarantin ditetapkan, selain dikehendaki mengemukakan keputusan ujian calitan dalam tempoh 48 jam dari tarikh kuarantin.

Arab Saudi mula membuka pintunya kepada pengembara luar mulai 1 Ogos lalu dan menerima jemaah umrah antarabangsa secara berperingkat sejak 9 Ogos dengan syarat serta protokol tertentu. – BERNAMA

Berita Harian X