Sabtu, 18 Disember 2021 | 2:05pm
Hujan lebat menyebabkan tiga kediaman di Sepang ditenggelami air. FOTO IHSAN PEMBACA
Hujan lebat menyebabkan tiga kediaman di Sepang ditenggelami air. FOTO IHSAN PEMBACA

482 mangsa banjir di Sepang dipindahkan ke PPS

SEPANG: Sebanyak 482 mangsa banjir kini dipindahkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Sepang, kata Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis.

Beliau berkata, daripada jumlah itu terdapat 44 mangsa dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Giching, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Garang (143) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheeding (35).

"Mangsa banjir ini turut dibawa ke SK Kebun Baru iaitu seramai 72 mangsa, Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Banting (22) dan Dewan Orang Ramai di Kampung Kelanang (36).

"Selain itu Dewan MPKL Sungai Buaya (20) dan SK Olak Lempit (75). Hanya dua PPS belum menerima mangsa perpindahan banjir iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Changgang dan SK Labohan," katanya hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, 66 mangsa daripada 17 keluarga di Sepang dan Dengkil dipindahkan.

"Seramai 36 individu daripada 11 keluarga kini ditempatkan ke PPS Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Salak Tinggi yang terletak di Kampung Giching.

"Selain itu 30 mangsa banjir daripada enam keluarga kini dipindahkan ke Dewan Taman Gemilang, Dengkil," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan jumlah mangsa banjir di Selangor kini sudah meningkat kepada 3,086 berbanding pagi tadi dengan 1,011 mangsa.

Berita Harian X