Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:57pm
Mohd Adam Amsyar dibawa Pertubuhan Ihsan Johor menonton wayang, menikmati hidangan Pizza Hut dan bersiar-siar di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru malam tadi. - Foto ihsan NGO Ihsan Johor
Mohd Adam Amsyar dibawa Pertubuhan Ihsan Johor menonton wayang, menikmati hidangan Pizza Hut dan bersiar-siar di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru malam tadi. - Foto ihsan NGO Ihsan Johor

Adam teruja kali pertama tonton wayang

JOHOR BAHRU: Pesakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia, Mohd Adam Amsyar, 9, teruja apabila diberi kesempatan untuk menonton wayang buat kali pertama, malam tadi.

Bapa Mohd Adam Amsyar, Abd Rahman Ahmad, 47, ketika dihubungi berkata, beliau dihubungi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Ihsan Johor, tengah hari semalam.

NGO berkenaan mahu membawa Mohd Adam bersiar-siar di Johor Bahru bagi menceriakan anak bongsunya selepas terharu membaca kisah penyakitnya.

"Apabila Pertubuhan Ihsan Johor hubungi untuk membawa Mohd Adam ke Legoland, saya memaklumkan pihak taman tema berkenaan sudah meminta kami sekeluarga datang esok (hari ini) selepas kisah anak bongsu saya disiarkan. Pertubuhan itu kemudian mengajak Adam bersiar-siar ke Johor Bahru malam ini (semalam) termasuk menonton wayang.

"Apabila Adam dengar ajakan itu, tanpa berfikir panjang dia setuju. Adam tidak pernah menonton wayang dan dia sangat teruja apabila diajak menonton wayang.

"Saya sangat sebak apabila melihat Adam sangat teruja dan gembira apabila kali pertama kali mengunjungi pusat beli belah dan panggung wayang malah penganjur turut membawa kami menikmati hidangan Pizza Hut, yang sudah lama diidamkannya," katanya.

Mohd Adam Amsyar dibawa Pertubuhan Ihsan Johor menonton wayang, menikmati hidangan Pizza Hut dan bersiar-siar di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru malam tadi. - Foto ihsan NGO Ihsan Johor
Mohd Adam Amsyar dibawa Pertubuhan Ihsan Johor menonton wayang, menikmati hidangan Pizza Hut dan bersiar-siar di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru malam tadi. - Foto ihsan NGO Ihsan Johor

Semalam media melaporkan, kisah Mohd Adam, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian menderita penyakit jantung terbalik yang menyebabkannya sering sesak nafas serta keletihan.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, di mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Bapanya, Abd Rahman, dilaporkan berkata penyakit anaknya, Mohd Adam Amsyar, hanya dapat dikesan ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist, berkata pertubuhan itu tergerak untuk memberi kegembiraan pada Mohd Adam dan keluarganya selepas tersentuh dengan penderitaan kanak-kanak itu.

Pertubuhan itu sangat berbesar hati apabila Mohd Adam dan keluarganya menyambut ajakan untuk bersiar-siar di Johor Bahru malam ini.

"Kami berbesar hati dapat menghibur dan menggembirakan Mohd Adam dengan menonton filem Spiderman selain menunaikan hajatnya untuk menikmati makanan di Pizza Hut.

"Kami terharu apabila Mohd Adam menyatakan ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki ke pusat beli belah dan panggung wayang seumur hidupnya.

"Sebelum pulang ke Pontian, kami menitipkan sedikit sumbangan termasuk susu formula khas untuk jantung Mohd Adam, lampin pakai buang yang perlu dipakainya selain beberapa barangan keperluan keluarganya," katanya.

Berita Harian X