Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:47pm

TERKINI: Mangsa banjir Selangor meningkat lebih 3,000 orang

SHAH ALAM: Mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 3,086 berbanding 1,011 orang pada jam 7 pagi tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kesemua mangsa banjir itu membabitkan penduduk daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang.

"Klang merekodkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 2,604 orang setakat ini dan mereka ditempatkan di 17 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Melut yang dilanda banjir kilat berpindah ke balai raya di kampung berkenaan. - Foto ihsan pembaca.
Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Melut yang dilanda banjir kilat berpindah ke balai raya di kampung berkenaan. - Foto ihsan pembaca.

"Manakala bagi Kuala Langat dan Sepang, seramai 482 individu yang ditempatkan di sembilan PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi daerah Klang, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia mencatatkan jumlah pemindahan mangsa paling tinggi dengan 793 individu diikuti SK Telok Gong (681) dan Masjid Al-Islah (256) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah dengan 190 mangsa dari kaum Orang Asli Pulau Carey.

Pengguna jalan raya terpaksa meredah banjir untuk ke Klang berikutan hujan lebat sejak semalam ketika tinjauan di Jalan Sungai Kandis hari ini.
Pengguna jalan raya terpaksa meredah banjir untuk ke Klang berikutan hujan lebat sejak semalam ketika tinjauan di Jalan Sungai Kandis hari ini.

Katanya, antara PPS lain yang dibuka adalah Masjid Al-Ubudiah; Balai MPKK Sungai Pinang; Sekolah Rendah Agama (SRA) Pulau Indah; Balai MPKK Perigi Nenas; Balai MPKK Bukit Naga; SK Sungai Binjai; SRA Padang Jawa; SK Jalan Kebun; Dewan Orang Ramai Tok Muda; SRA Pekan Kapar; SRA Kampung Delek; Dewan Serbaguna MPK Kampung Jawa; SRAI Batu Belah; SRA Kampung Batu 4; Dewan Kemuning Utama dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kapar.

"Bagi daerah Kuala Langat dan Sepang, SMK Telok Panglima Garang menempatkan paling ramai mangsa iaitu 143 orang diikuti SK Olak Lempit dengan 75 mangsa.

"PPS lain di daerah terbabit adalah Dewan MPKL Banting; Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang; SK Sungai Buaya; SK Cheeding; SK Kebun Baru; SRA Bukit Changgang dan Balai Raya Kampung Giching (Sepang)," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan

Keadaan Jalan Meru menuju ke Klang berdekatan susur masuk Setia Alam banjir susulan daripada hujan berterusan sejak semalam. NSTP/OSMAN ADNAN
Keadaan Jalan Meru menuju ke Klang berdekatan susur masuk Setia Alam banjir susulan daripada hujan berterusan sejak semalam. NSTP/OSMAN ADNAN
Berita Harian X