Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:45pm
Ahmad Faizal (dua dari kiri) memalu gendang sebagai simbolik Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU, hari ini.- NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ahmad Faizal (dua dari kiri) memalu gendang sebagai simbolik Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU, hari ini.- NSTP/ASYRAF HAMZAH

Jangan gembira jika bekas pemimpin parti lawan dihukum mahkamah

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan dan ahli BERSATU diingatkan tidak terlalu gembira apabila ada bekas pemimpin parti lawan dihukum di mahkamah atas kesalahan dilakukan mereka.

Sebaliknya, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mahu pemimpin dan ahli parti itu menjadikan perkara berkenaan sebagai iktibar dan pengajaran supaya tidak lagi berulang.

Beliau berkata, meskipun BERSATU memusuhi amalan rasuah dan salah guna kuasa, adalah tidak wajar untuk anggota parti bergembira di atas ujian dan kesengsaraan pihak lain.

"Kita wajar sedih, kecewa insaf dan hiba, siapa sekali pun orangnya, melihat mantan pemimpin negara yang juga bekas pemimpin Melayu berdepan kes di mahkamah.

"Walaupun kita berada di bahtera politik berbeza, memusuhi khianat dan salah guna kuasa, namun bukan cara kita bertepuk gembira dengan ujian menimpa mereka.

"Mereka juga ada anak dan keluarga serta maruah perlu dipelihara. Apa yang berlaku, harus memberi iktibar dan pengajaran, kita jangan khayal dengan kuasa," katanya berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan (PAT) ARMADA dan SRIKANDI BERSATU di sini, hari ini.

Saranan disuarakan Ahmad Faizal dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu, yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Sementara itu, pada sidang media, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata saranan itu juga merujuk kepada tindakan mahkamah dikenakan terhadap individu daripada mana-mana parti.

Beliau berkata, perjuangan BERSATU untuk mendakwa mana-mana individu adalah demi kebaikan bagi membawa keinsafan kepada parti dan rakyat, selain membawa individu yang melakukan kesalahan kembali ke pangkal jalan.

Berita Harian X